PUTRAJAYA - Kerajaan akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia berhubung keperluan untuk mewujudkan satu identiti khas bagi membezakan warga asing yang sudah menjalani saringan kesihatan ujian swab koronavirus (Covid-19).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan dirujuk kepada kementerian terbabit berikutan buat masa ini belum ada kaedah khusus mengenal pasti identiti warga asing yang sudah atau belum membuat ujian tersebut.
Menurutnya, setakat ini, hospital hanya mengeluarkan surat mengatakan seseorang individu itu negatif Covid-19 atau tidak dijangkiti wabak berkenaan.
"Jadi kalau mereka lalui sekatan jalan raya umpamanya, boleh tunjuk surat tersebut sebagai cara untuk mengetahui mereka sudah jalani ujian swab tapi dari segi identiti belum lagi," katanya pada sidang akhbar harian (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia dari segi kaedah untuk membezakan identiti warga asing tersebut dan berkemungkinan dengan menyediakan tag.
Sementara itu, ketika mengulas berhubung dakwaan mengatakan banyak kluster baharu Covid-19 wujud dalam kalangan warga asing di pelbagai premis kerja disebabkan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP), Ismail Sabri menafikan perkara tersebut.
Beliau berkata, sebaliknya apa yang berlaku adalah kerana penularan jangkitan wabak itu dari luar.
"Ini yang menyebabkan kluster baharu wujud seperti di Pedas, Negeri Sembilan, tapak binaan di Setia Alam dan Ampang.
"Ia berlaku bukan semasa mereka bekerja tetapi selepas dihantar untuk membuat saringan kesihatan ujian swab oleh majikan yang mematuhi SOP sebelum membenarkan mereka bekerja," katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus menumpukan kepada mereka yang dijangkiti serta kawasan yang dijangkiti.