SOP jangan longgar!

Iklan
Nazmizan (kiri) bersama Zaki.- Foto: Suhana Mutalib

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) disaran supaya mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi dipatuhi setiap atlet dan jurulatih selepas kerajaan membenarkan beberapa jenis sukan kembali meneruskan latihan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini juga mengambil situasi kem olahraga negara yang mempunyai pelbagai acara sukan yang kebanyakannya memerlukan penggunaan kemudahan teknikal seperti gimnasium khasnya trek latihan.

Iklan
Iklan

Menurut bekas jaguh lompat kijang negara, Zaki Sadri, aspek SOP harus diberikan keutamaan pada masa ini berdasarkan situasi semasa wabak Covid-19 bagi mengelakkan kem olahraga kehilangan aset berharga pada masa depan.

Katanya, sebelum ini semua atlet mengikuti modul latihan yang diberikan jurulatih masing-masing dan memberikan tumpuan kepada aspek mengekalkan kecergasan sepanjang tempoh PKP.

Iklan

"Apabila kerajaan sudah melonggarkan beberapa jenis sukan untuk kembali berlatih menerusi PKPB, atlet trek dan balapan secara tidak langsung memerlukan gimnasium dan trek bagi membolehkan mereka memberikan prestasi paling optimum semasa berlatih.

"Cuma sedikit membimbangkan bagaimana KOM mahu memastikan SOP yang digariskan benar-benar dipatuhi kerana latihan atlet sebelum wabak Covid-19 cukup berbeza kerana tiada penjarakan sosial.

Iklan

"Kem olahraga ini kita kena faham ia tidak seperti kem sukan lain kerana melibatkan banyak acara sukan contoh seperti acara 100 meter, 200 meter, lompat tinggi, lompat jauh, lempar cakera dan sebagainya

"Jadi KOM perlu menggalakkan jurulatih menggunakan normal baharu dalam penjadualan latihan dalam kalangan atlet masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam Sinar Harian melaporkan KOM akan menghantar permohonan rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membolehkan atlet trek dan balapan negara kembali menyambung sesi latihan masing-masing.

Menurut Presiden KOM, Datuk SM Muthu, permohonan rasmi berkenaan akan dihantar selepas 12 Mei ini disertakan sekali SOP bagi pihak persatuan untuk penilaian pihak MKN.

Pada masa sama tegas Zaki, jurulatih juga perlu memainkan peranan utama dalam memastikan anak-anak buah mereka mematuhi SOP semasa di gimnasium khasnya trek latihan.

"Pada saya, dalam isu penjarakan sosial ini juga jurulatih perlu memainkan peranan utama memantau atlet di bawah selia mereka.

"Kita sudah pasti tidak mahu negara kehilangan aset sukan negara pada masa depan sekiranya tiada pemantauan rapi dilakukan terhadap atlet pada masa semua pihak berusaha memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Nada sama juga disuarakan bekas pelari pecut negara Nazmizan Muhammad yang percaya SOP ketat adalah satu keperluan bagi memastikan tidak berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan atlet apabila mereka dibenarkan kembali menjalani latihan di trek dan gimnasium.

"Sebagai contoh jika atlet dibenarkan kembali berlatih di trek, tentunya akan ramai yang akan turun berlatih. Jika ramai tentunya mereka akan berkumpul menyebabkan tidak berlaku penjarakan sosial seperti disarankan Kementerian Kesihatan. Jadi KOM kena pastikan SOP yang disediakan tidak hanya ketat tetapi juga wajib dipatuhi atlet.

"Secara peribadi pada saya buat masa ini adalah lebih baik latihan diadakan di gimnasium kerana mudah untuk melakukan pemantauan penjadualan masa untuk atlet turun berlatih berbanding dengan trek yang pastinya menggunakan ruang yang luas.

"Di gimnasium juga terdapat peralatan seperti basikal gimnasium, treadmill yang boleh diselaraskan kelajuan untuk meningkatkan tahap kecergasan atlet berbanding latihan kecergasan di rumah sebelum ini,” katanya.