SEBULAN lalu, ada seorang sahabat Merak Jalanan beritahu isterinya meminta untuk dibelikan satu alat yang dapat memasak ribuan jenis makanan.
Katanya, alat tersebut yang kini jadi kegilaan para wanita itu harganya mencecah RM6,000. Terlopong mulut Merak Jalanan mendengarnya.
Merak Jalanan beritahu kepada dia, memang berbaloilah beli alat itu dengan harganya mencecah ribuan ringgit tetapi dalam masa sama dapat memasak ribuan jenis makanan.
Apabila bersembang lanjut, rupa-rupanya alat memasak tersebut bukanlah yang paling mahal tetapi ada lagi yang lebih mahal daripada itu.
Dikenali sebagai Moley, ia adalah sebuah robot yang berharga RM65,000 dan mempunyai keupayaan untuk menjadi tukang masak yang handal di dapur.
Robot yang dihasilkan oleh sebuah firma berpangkalan di London itu hasil ilham seorang bernama Mark Oleynik.
Moley dicipta untuk mempelajari dan merekodkan masakan daripada pemiliknya termasuk memuat turun resipi baharu secara dalam talian.
Ia bukan sahaja boleh memotong, malah boleh mencincang bahan makanan serta mampu untuk menggoreng makanan dengan baik.
Nampaknya, teknologi di dapur ini memang sudah canggih dan dibuat khusus untuk ibu-ibu zaman moden yang ada kemampuan kewangan yang tinggi.
Bagi orang biasa macam Merak Jalanan ini, sudah memadai masak dengan menggunakan kaedah konvensional sahaja.
Sejak puluhan tahun dulu, kita guna periuk, kuali dan gas memasak sahaja. Sudah tentulah antara manusia dan robot masak, Merak Jalanan pilih manusia yang masak.
Mungkin suatu hari nanti, apabila ada pemilik kedai atau restoran yang menggunakan teknologi Moley, bolehlah kita cuba masakan daripada robot pula.