JABATAN Perangkaan Malaysia mengumumkan jumlah penganggur pada bulan Mac 2020 meningkat 17.1 peratus kepada 610,500 orang berbanding 521,300 orang pada bulan sama tahun lalu.
Kadar pengangguran yang direkodkan itu adalah yang paling tinggi sejak 34 tahun lalu. Kadar pengangguran tertinggi pernah dicatatkan di Malaysia adalah pada kadar 7.4 peratus pada tahun 1986.
Kadar pengangguran yang tertinggi itu dipengaruhi terutama oleh impak negatif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas pasaran buruh.
Masalah pengangguran merupakan satu isu yang serius dan perlu ditangani dengan segera kerana ia boleh mengundang kepada masalah lain yang lebih besar.
Kehilangan pekerjaan sudah pasti akan memberikan kesan besar dan tekanan kepada seseorang individu serta keluarga mereka.
Bayangkan kesan domino yang akan berlaku disebabkan pengangguran dan antara kebimbangan ialah peningkatan masalah sosial dan jenayah dalam kalangan masyarakat.
Justeru, langkah untuk mengurangkan pekerja asing di negara ini adalah satu daripada kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah pengangguran.
Bagaimanapun, timbul persoalan sejauh mana rakyat di negara ini bersedia untuk mengisi kekosongan kerja dalam sektor pekerjaan 3D iaitu sukar, bahaya dan kotor.
Mungkin jika sudah terdesak, rakyat kita akan menerima apa sahaja pekerjaan demi untuk meneruskan kelangsungan hidup asalkan rezeki yang diperoleh itu halal dan diberkati.
Bagi golongan muda mungkin tidak menjadi sebarang masalah, namun golongan yang sudah berusia diyakini agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan.
Pilihan yang ada kini adalah dengan menjadi pemandu e-hailing ataupun penghantar barang yang kini mendapat sambutan yang menggalakkan.
Sementara itu, marilah kita semua berdoa agar cabaran yang sedang kita lalui ini akan segera berakhir dengan segera. Ekonomi Malaysia perlu dipulih segera dengan apa cara sekalipun.