Bekas kapten Barcelona, Xavi Hernandez percaya Lionel Messi yang telah merangkul enam gelaran Ballon d'Or mampu beraksi sehingga usianya mencecah 40 tahun.
Messi sudah mencecah usia 32 tahun, namun dia dilihat masih berada dalam kelas tersendiri bersama Barcelona apabila merekodkan 24 gol sebelum Liga Sepanyol musim ini ditangguhkan akibat wabak Covid-19.
Melihatkan Messi sebagai tonggak kejayaan The Blaugrana, Xavi berasakan masih banyak yang mampu ditawarkan kapten skuad Argentina itu, baik di peringkat kelab mahupun pentas antarabangsa.
"Dia masih mempunyai lima atau tujuh tahun yang baik untuk diharungi. Dia bijak menguruskan dirinya sendiri dan dia boleh terus beraksi sehingga mencapai umur 37, 38 atau 39 tahun.
"Dia akan bermain dalam Piala Dunia Qatar, saya yakin," kata bekas perancang Sepanyol itu mengenai Messi dalam satu temu bual di Instagram dengan seorang lagi bekas penyerang Barcelona, Samuel Eto'o.
Dalam pada itu, Xavi yang kini membimbing kelab Al Sadd berharap sempat mengambil alih tugasan selaku pengendali Barcelona jika Messi masih berada di Camp Nou.
Awal tahun ini, Xavi telah mendapat tawaran daripada bekas majikannya itu bagi menerajui Barcelona sebelum Quique Setien dilantik sebagai pengganti Ernesto Valverde.
"Januari lalu bukan saat yang tepat. Saya telah berbincang dengan Eric Abidal (Pengarah Sukan Barcelona) dan Oscar Grau (Ketua Eksekutif Barcelona) selain diajukan tawaran lumayan, tetapi itu bukan saat yang tepat.
"Saya perlu menimba lebih banyak pengalaman. Melatih Barcelona adalah impian saya. Saya ingin melakukannya suatu hari nanti. Saya sudah mengatakannya berkali-kali,” ujarnya.
Pada masa sama, Xavi sudah menyimpan hasrat untuk membawa masuk bekas bintang Barcelona yang juga penyerang berbisa Paris Saint-Germain (PSG), Neymar
"Dalam bola sepak, dia (Neymar) berada dalam kalangan tiga atau lima pemain terbaik dunia, tiada keraguan lagi. Saya merupakan peminat Barcelona dan saya mahukan pemain terbaik di sana,” jelasnya.