GEORGETOWN - Persatuan penggunting rambut India, Penang Maruthuvar Sangam memohon kerajaan Persekutuan dan kerajaan Pulau Pinang menyediakan bantuan kewangan khas untuk tukang gunting rambut yang terjejas teruk sejak penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Pengerusinya, M Tamilmany berkata, setakat ini tiada bantuan khas disediakan untuk golongan itu dan rata-rata pemilik premis gunting rambut kehilangan punca pendapatan kerana kedai tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Di Pulau Pinang ada lebih kurang 150 kedai gunting rambut melibatkan kira-kira 450 tukang gunting rambut. Kehidupan kami terjejas teruk. Sudah lebih dua bulan kedai tidak dibuka dan kami tidak mempunyai pendapatan bulanan. Kami kehilangan punca pendapatan antara RM2,000 ke RM3,000 sebulan.
"Ada antara kami yang hanya mendapat upah apabila bekerja. Kebanyakan tukang gunting rambut adalah golongan berpendapatan harian dan sebahagiannya dibayar komisen mengikut bilangan orang yang mereka telah gunting rambut," katanya.
Menurutnya, berikutan itu pihaknya akan menghantar surat kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk memohon bantuan kewangan daripada kerajaan negeri hari ini.
Sementara itu, Bendahari persatuan itu, V Tharmaraj meminta kerajaan memberi kebenaran kepada pemilik premis gunting rambut terutamanya di kawasan zon hijau untuk membuka semula operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Tharmaraj yang berkhidmat sebagai tukang gunting rambut selama 18 tahun berkata, pemilik premis akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKPB yang ditetapkan dan rata-rata pemilik premis juga bersedia untuk beroperasi semula.
"Untuk peringkat permulaan ini, saya mencadangkan kerajaan hanya benarkan untuk perkhidmatan gunting rambut sahaja. Ini kerana ramai pelanggan yang meminta kami pergi ke rumah untuk gunting rambut tapi kami tidak boleh melaksanakannya kerana mematuhi arahan PKP.
"Kami bersedia untuk mengikuti SOP yang ditetapkan seperti menjaga jarak sosial, menggunakan pelitup muka, menyediakan cecair pembasmi kuman, melakukan disinfeksi harian premis dan sebagainya. Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini," katanya. - Bernama