ALOR SETAR - Majlis Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mencadangkan agar DUN dibubarkan jika pembangkang terus berusaha untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada di negeri ini.
Penyelaras DUN Sungai Limau, Zahran Abdullah berkata, perkara tersebut dilihat sebagai pilihan terbaik dalam menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku di Kedah.
Menurutnya yang mewakili 17 Penyelaras DUN Kedah, di sebalik negara sedang dilanda pandemik Covid-19 yang dilihat belum ada tanda-tanda akan berakhir, mereka kecewa kerana masih ada segelintir pemimpin yang masih bermain politik.
"Antara sebab kita mempertahankan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah atas kejayaannya membawakan pembangunan di Kedah dan pelaburan sebanyak RM14.7 bilion pada tahun lalu yang telah memacu kita ke arah kemajuan.
"Sekiranya kemajuan ini tidak dapat dilihat sebagai agenda untuk menguntungkan rakyat dan negeri, masih lagi yang ada kepentingan peribadi untuk terus berpolitik, bagi kami jalan terbaik adalah dengan membubarkan DUN," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman hari ini.
Zahran berkata, mandat perlu dikembalikan kepada rakyat Kedah untuk mereka membuat pilihan semula.
Jelasnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) ada hak untuk menyokong blok pembangkang namun mereka harus memikirkan agenda rakyat dan negeri berbanding kepentingan politik sendiri.
"Kami yakin jika setiap daripada kita mengamalkan politik matang dengan meletakkan demokrasi sebagai asas utama keutuhan sesebuah kerajaan, maka pastinya rakyat tidak akan kecewa," katanya.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya pada 6 Mei lalu menyatakan keyakinan parti itu untuk mengetuai pentadbiran Kedah daripada kerajaan PH campur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini dipimpin Mukhriz.
Menurutnya, perpecahan kini dapat dilihat dalam gabungan PH Kedah apabila ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee secara terbuka mempertikaikan keputusan pemecatan timbalannya di Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Petani yang membuktikan beliau tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan PH.