BACHOK - Dua sahabat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Bachok di sini hari ini atas dakwaan mencuri dua ekor lembu di Kampung Besar, Semerak, Pasir Puteh pada bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Nazif Isa, 29, (buruh) dan Muhamad Nazirul Badlishah, 24, (pembuat budu) bagaimanapun mengaku tidak salah di hadapan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor.
Pada tuduhan pertama mereka didakwa mencuri lembu jantan milik Md Yusof Mohamad, 65, di kandang lembu Teluk Lubuk, Kampung Besar, Semerak, Pasir Puteh antara jam 9 hingga 12 tengah malam pada 23 April lalu.
Pada tuduhan kedua mereka didakwa mencuri lembu betina milik Che Ismail Yaacob, 69, pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau dengan denda serta kesalahan kali kedua boleh disebat.
Sementara itu, Muhamad Nazif turut didakwa dan mengaku tidak salah atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bergerak daripada bangunan Pelangi Mall Kota Bharu ke Jalan Gate, Kampung Lembah, Pasir Puteh pada jam 12.30 tengah malam, 24 April lalu.
Bagi dakwaan itu tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempat Jangkitan 2020 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama.
Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Pada tuduhan keempat, Muhamad Nazif juga mengaku tidak salah pada tuduhan ada dalam milikannya sebuah kereta jenis Perodua MyVi berwarna hitam yang terdapat kesan gangguan pada nombor enjin dan casis serta gagal memberi keterangan munasabah.
Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Gayathri Sambath manakala Muhamad Nazif diwakili peguam Shaharuddin Mohamed dan Muhamad Nazirul diwakili peguam awam.
Mahkamah membenarkan Muhamad Nazif diikat jamin berjumlah RM11,500 berserta syarat perlu melaporkan diri di balai polis Pasir Puteh setiap 12 hari bulan dan tidak boleh keluar dari Kelantan.
Muhamad Nazirul pula dibenarkan jaminan berjumlah RM9,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Julai depan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penahanan seorang lelaki kerana melanggar PKP dan dikesan turut membawa bersamanya ‘penumpang’ iaitu dua ekor lembu.
Suspek ditahan bersama masing-masing seekor lembu jantan dan betina yang disumbat di bahagian belakang kereta Perodua MyVi yang dipandunya.