Cemas kereta rempuh babi hutan di LPT2

Iklan
Keadaan kereta yang remuk di bahagian depan setelah merempuh seekor babi hutan.

HULU TERENGGANU - Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya merempuh seekor babi hutan yang melintas secara tiba-tiba di Kilometer 407, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Telemong-Ajil di sini malam tadi.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 12 tengah malam ketika mangsa, Mohd Zaidi Ab Ghani, 41, dalam perjalanan dari arah Bachok, Kelantan menuju ke Pangkalan Udara Kuantan.

Iklan
Iklan

Mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kenderaannya remuk di bahagian hadapan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, seekor babi hutan dikatakan tiba-tiba melintas dari arah kiri ke kanan jalan.

Iklan
Keadaan babi hutan yang dirempuh, setelah melintas secara tiba-tiba.

"Dia bagaimanapun gagal mengelak dan merempuh babi itu, menyebabkan kenderaannya remuk di bahagian depan di sebelah pemandu.

"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, tiada lampu jalan di lokasi kemalangan selain keadaan cuaca juga baik dan tidak hujan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Iklan

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati, khususnya apabila menggunakan LPT2 pada waktu malam kerana banyak kemalangan melibatkan haiwan melintas di lebuh raya itu.