PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus mempergiatkan aktiviti survelan meskipun terdapat penurunan kes positif wabak koronavirus (Covid-19) yang dikesan melalui Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) atau Influenza Like Illness (ILI).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu akan diteruskan untuk mencapai objektif sebagai sistem amaran awal dan pengesanan awal bagi jangkitan wabak itu di negara ini.
Iklan
Iklan
Menurutnya, setakat minggu epid ke-18, sebanyak 9,010 sampel telah diambil dan daripada jumlah itu, 81 sampel atau 0.9 peratus disahkan positif wabak tersebut.
"Meskipun begitu, kadar positif yang dikesan melalui aktiviti survelan adalah menurun dan kekal rendah buat masa ini.
"Walau bagaimanapun, pihak KKM menyeru supaya masyarakat tidak leka dengan tren penurunan ini.
"Sekali lagi, KKM ingin menekankan bahawa kepatuhan orang ramai kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta kelaziman dan norma baharu adalah amat penting dalam menentukan kadar kes positif Covid-19 di Malaysia," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM juga menjalankan analisa survelan pasif di mana ia merangkumi notifikasi yang diterima Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) bagi kes-kes yang telah dikesan sebagai pesakit di bawah pemantauan (PUI) daripada fasiliti KKM dan swasta.