Gelombang baharu Covid-19 jika tidak patuh SOP

Iklan
Petugas Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat mengiringi seorang penghuni dipercayai warga asing untuk ke pusat saringan bagi menjalani saringan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman semalam. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI[] Negara tidak terkecuali bakal berdepan dengan gelombang baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) sekiranya semua pihak tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, perkara itu tidak mustahil berlaku sama seperti didalami di Wuhan, China dan Korea Selatan yang kini sedang dilanda gelombang kedua selepas sebulan bebas wabak itu.

Iklan
Iklan

"Kita kena pastikan masyarakat dapat mengikuti semua SOP yang telah digariskan oleh KKM," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, bagi menjayakan 'peperangan' menentang Covid-19, tanggungjawab tidak terletak pada bahu kerajaan semata-mata.

Iklan

"Sama ada kita akan hadapi gelombang kedua atau tidak, bukan terletak di tangan KKM sahaja tapi kepada masyarakat juga," katanya.

Beliau berkata, hasil keputusan yang dicapai hari ini adalah usaha yang dijalankan 14 hari lalu.

Iklan

"Semasa kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu hingga empat, kita berjaya melandaikan graf dan menurunkan kes jangkitan baharu kepada dua digit," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes terendah dicapai hari ini yang mana 3 daripada 16 kes adalah import dan 13 adalah penularan tempatan.

"Daripada 13 penularan tempatan, sembilan melibatkan pekerja asing dan hanya empat warga tempatan," katanya.

Menurutnya, tahap kepatuhan rakyat terhadap PKP pada kadar 90 peratus juga menjadi faktor penentu.

"Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa kepatuhan sekitar 90 peratus dan kita akan terus memberi tumpuan kepada bakinya, 10 peratus," katanya.

Beliau berkata, sekiranya pihak industri dan pusat membeli-belah dapat memberi kepatuhan kepada SOP, pihaknya optimis kes positif baharu akan berjaya diturunkan.

"Jika mahu menang, kita perlu bersatu dan semua pihak hendaklah mematuhi SOP.

"Saya yakin kita boleh lakukannya. Malaysia boleh," katanya.

Semalam, pihak berkuasa China mengesahkan wujud kluster baharu di Wuhan melibatkan lima kes positif di kejiranan sama selepas sebulan bandar itu bebas Covid-19.

Sementara itu, Korea Selatan merekodkan 35 kes positif baharu melibatkan kluster hiburan malam.

Ia sekali gus memaksa kesemua pusat hiburan dan kelab malam ditutup sepenuhnya.