SINGAPURA - Mor chu kee, dua tay chut lai atau dalam erti kata lain 'jangan keluar, duduk di rumah'.
Itulah mesej disampaikan Datuk Bandar Daerah Tenggara, Dr Maliki Osman dalam dialek Hokkien untuk meminta penduduk warga tua agar duduk di rumah.
Beliau juga menyampaikan mesej serupa dalam bahasa Mandarin, lapor Mediacorp.
Dr Maliki yang juga Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, memuat naik secara berasingan dua rakaman video ke laman Facebooknya, sehingga mesej tersebut tular di laman sosial.
Dalam video pertama yang dimuat naik pada 2 Mei lalu, Dr Maliki bertutur dalam bahasa Mandarin dengan disertakan catatan yang menyatakan bahawa rakaman itu ditujukan kepada penduduk yang pada awalnya beliau merancang untuk menemui mereka secara empat mata.
Bagaimanapun, disebabkan tempoh pemutus rantaian jangkitan koronavirus (Covid-19), rancangan itu terpaksa ditangguhkan.
Sehubungan itu, Dr Maliki membuat rakaman video sebagai pengganti diri demi mengingatkan penduduk warga tua agar terus duduk di rumah selain diberikan nombor telefon Kelab Masyarakat Siglap untuk mereka hubungi sekiranya memerlukan bantuan.
Dalam video kedua yang dimuat naik semalam, mesej yang sama turut disampaikan dalam dialek Hokkien dan Dr Maliki turut memberitahu, sebagai seorang anggota Parlimen, penting bagi dirinya untuk berkomunikasi dengan penduduk dari pelbagai etnik dan lingkungan usia.
Lebih-lebih lagi katanya, sekitar 23 peratus penduduk di kawasan undi beliau merupakan warga tua berusia 60 tahun dan ke atas dengan kebanyakannya kaum Cina.
"Oleh kerana mesej itu amat penting dan warga tua adalah golongan yang mudah terjejas, saya rasa penting untuk menyampaikan mesej dalam bahasa yang mereka lebih mudah faham.
"Lebih-lebih lagi apabila mereka melihat seorang ahli Parlimen kaum Melayu cuba sedaya-upaya untuk mendampingi mereka dalam bahasa mereka," kata Dr Maliki.
Dr Maliki mendedahkan bahawa selepas merakam video dalam bahasa Mandarin, beliau dimaklumkan bahawa warga tua berbangsa Cina lebih memahami dialek, seterusnya memutuskan untuk merakam satu lagi video dalam dialek Hokkien, yang disifatkan sebagai bahasa yang 'lebih sukar untuk dituturkan'.
Gaya penyampaian dan lenggok bahasanya yang kedengaran bersahaja itu mencuri perhatian bukan sahaja warga tua tetapi juga orang muda turut memujinya.
Kebanyakan mereka juga berasa kagum dengan keupayaan Dr Maliki bertutur dalam dialek yang mungkin juga sukar untuk diri mereka sendiri kuasai.
Seorang pengguna alam maya, Cheryl Goh memuji bahasa Mandarin Dr Maliki dengan menyifatkannya sangat bagus dan berterima kasih atas usaha pemimpin tersebut menyampaikannya dalam bahasa tersebut.
Kata Malcom Hunt,"Saya sangat kagum, terbaik Dr!"