Pelita Raya Online Beautiful Terengganu tawar hadiah RM8,000

Iklan
Pemasangan pelita raya menceriakan suasana di sebuah kediaman di Kampung Gelugor, Kuala Terengganu sempena sambutan Aidilfitri tahun lalu.

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menganjurkan pertandingan Pelita Raya Online Beautiful Terengganu: PKP Raya Style 2020 yang terbuka kepada semua rakyat negeri ini dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai RM8,000.

Pertandingan yang bermula pada 18 Mei hingga 26 Mei itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu foto terbaik dan video terbaik.

Iklan
Iklan

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, bagi penyertaan dalam kategori video setiap peserta perlu memastikan klip yang dihantar tidak melebihi dua minit dan dibenarkan melakukan suntingan untuk menjadikan video mereka lebih menarik.

Menurutnya, bagi kategori foto pula peserta perlu menghantar gambar suasana persediaan dan gambar pelita raya yang dibuat dengan minimum lima keping gambar termasuk swafoto berseorangan atau secara berkumpulan.

Iklan

"Setiap peserta boleh menghantar penyertaan melalui laman Facebook Beautiful Terengganu Malaysia dan mengikuti semua syarat yang ditetapkan," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, penganjuran pertandingan itu bertujuan memberi keceriaan terhadap sambutan Aidilfitri yang diraikan tahun ini kerana ia diraikan dalam suasana yang agak berbeza akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Iklan

Selain itu katanya, ia juga dapat mempromosikan Terengganu sebagai lokasi pelancongan yang 'wajib' dikunjungi pada masa akan datang.

"Pemasangan pelita raya sudah sinonim dan menjadi tradisi penduduk terutama di kawasan kampung.

"Pelita ini dipasang di sekeliling rumah atau di sepanjang jalan sekitar kampung untuk menceriakan suasana pada waktu malam terutama ketika hari terakhir Ramadan.

"Bagaimanapun tahun ini suasana agak suram disebabkan pergerakan yang terhad selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat Covid-19," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, pihak kerajaan negeri mencari inisiatif menganjurkan pertandingan Pelita Raya secara dalam talian bagi menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Kita harap pertandingan ini sekurang-kurangnya dapat menceriakan kawasan kediaman dan kampung supaya lebih berseri pada hari raya nanti.

"Namun kita turut mengingatkan supaya mereka tidak mengabaikan aspek keselamatan," katanya.