AirAsia laksana prosedur tanpa sentuhan

Iklan
Kiosk tanpa sentuhan boleh didapati di semua lapangan terbang yang beroperasi di seluruh Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Jepun mulai hari ini. - Foto AirAsia Newsroom

KUALA LUMPUR - AirAsia Group Bhd akan melaksanakan beberapa prosedur tanpa sentuhan bagi perjalanan penting selain mengemas kini ciri-ciri baharu pada aplikasi mudah alihnya untuk memastikan perjalanan yang lancar dan selamat kepada penumpang.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata, ia telah menyediakan sistem pilihan pembayaran tanpa sentuhan secara Wave seperti AliPay dan WeChat Pay di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan akan diperkenalkan di lapangan terbang lain secara berperingkat.

Iklan
Iklan

Bagi memastikan proses daftar masuk tanpa sentuhan sepenuhnya, AirAsia berkata, kiosk tanpa sentuhan boleh didapati di semua lapangan terbang yang beroperasi di seluruh Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Jepun mulai hari ini, di mana tetamu boleh mencetak pas masuk dan tag bagasi setelah mendaftar masuk secara dalam talian di airasia.com atau melalui aplikasi mudah alih.

Menurut kumpulan itu, Sistem Penyelarasan Penumpang (PRS) membolehkan tetamu mengimbas pas masuk mereka dan menurutnya sistem itu turut disediakan di KLIA2 sebelum diikuti oleh lapangan terbang lain di Malaysia di mana AirAsia beroperasi.

Iklan

AirAsia berkata, ia juga telah mendigitalkan proses menaiki penerbangan dengan mengimbas semua pas masuk di pintu pelepasan dan tidak lagi mengambil pas masuk fizikal.

"Aplikasi mudah alih AirAsia pula akan dikemas kini pada bulan ini dengan ciri-ciri baharu di mana para tetamu boleh mengimbas pasport mereka melalui aplikasi tersebut, seterusnya memudahkan pengalaman pengguna dan melancarkan proses daftar masuk tanpa sentuhan.

Iklan

"Terdapat juga cadangan untuk menambah ciri-ciri lain seperti imbasan visa perjalanan dalam masa terdekat,” kata syarikat penerbangan itu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia Javed Malik berkata, selain langkah keselamatan ketat di lapangan terbang seperti penanda penjarakan sosial dan Allstars yang memakai peralatan perlindungan diri, prosedur tanpa sentuhan itu akan memberikan pengalaman lebih selamat, cekap dan tanpa sentuhan kepada tetamu.

"Keselamatan tetamu dan Allstars adalah keutamaan kami dan prosedur tambahan ini adalah bukti komitmen berterusan kami untuk memastikan keselamatan perjalanan dalam persekitaran normal baharu bagi perjalanan udara, ” katanya. - Bernama