JOHOR BAHRU - Tinjauan harga ayam mentah di Pasar Awam Larkin di sini naik mendadak setiap kali menjelang Aidilfitri.
Harga ayam naik dari RM6.70 satu kilogram (kg) ketika awal Ramadan dan hari ini dijual RM8.40 sekilo.
Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Melayu Pasar Awam Larkin, Abdullah Ideris berkata, tidak hanya tahun ini, pada tahun-tahun lalu juga harga ayam akan naik apabila tiba Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
"Awal Ramadan hari itu kami dapat jual ayam sekilo dengan harga RM6.70, tetapi hari ini kami jual harga RM8.40 per kilogram.
"Ini biasalah bila tiba Ramadan dan lebih-lebih lagi bila dekat raya, permintaan tinggi ayam segar kurang itu yang jadi naik harga," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Awam Larkin.
Abdullah berkata, harga ayam terpaksa dinaikkan berikutan bekalan ayam segar sukar didapati.
Jelasnya, kebiasaannya pembekal akan edarkan bekalan ayam segar pada kuantiti sedikit dan mereka dipercayai menyimpan stok untuk bekalan menjelang minggu akhir Ramadan.
"Ayam hari ini saiz pun kecil-kecil, biasa pembekal hendak ayam itu membesar dahulu sebab itu bekalan kurang," katanya.