KUALA LUMPUR - Seramai 18 individu termasuk empat wanita diberkas dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah dalam sembilan serbuan sejak 9 Mei hingga semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, pihaknya melancarkan operasi sekitar Lembah Kelang, Pulau Pinang, Kelantan dan Johor.
"Seramai 18 individu berusia 21 hingga 67 tahun telah ditahan dalam operasi ini. Kita turut menahan empat lelaki warga Thailand dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 110.72 kilogram yang bernilai RM 12.04 juta.
"Selain itu, polis menjumpai makmal yang memproses dadah pil yaba dan ekstasi di Muar, Johor," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga melakukan rampasan sepucuk pistol jenis 'Colt Automatic' dan sekelopak pistol berisi sembilan butir peluru 9 milimeter serta menyita pelbagai jenis kereta, barang kemas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM 458,335.
Tambah Ramli, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sejak 10 bulan lalu dengan mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan luar negara sementara bahan untuk memproses dadah itu dipercayai dibeli secara dalam talian.
Kesemua individu direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960.