SHAH ALAM - Malaysia dan Indonesia berkolaborasi dalam menjayakan World #QuranHour: Reboot Global Harmony, yang membawa misi Surah Ar-Rahman pada hari ini (13 Mei 2020) bersamaan 20 Ramadan 1441H.
Gerakan berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini mempunyai visi untuk"mengQurankan bangsa dan mengIkhlaskan ummah”. Dengan berpandukan al-Quran, ia mampu membentuk kerangka fikir dan karakter Muslim sebenar.
Pengasas Ar-Rahman Qur'anic Learning Centre dari Indonesia, Ustaz KH Bachtiar Nasir yang juga Pentadabbur WQH 1441H yang dihubungi melalui WhatsApp berkongsi pandangannya berkaitan kempen tersebut:
Soalan 1: Apakah pandangan ustaz mengenai program World #QuranHour dalam mengajak orang ramai berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal?
Bagi saya, sangat tepat sekali untuk mengadakan World#QuranHour di bulan Ramadan apalagi diadakan pada 10 hari terakhir. Di saat ini umat manusia sedang berdoa untuk mendapatkan sebanyak mungkin rahmat dan pertolongan daripada ALLAH, serta diberikan kekuatan dan kelembutan hati serta dicucuri rahmat. Sebagaimana kita tahu, al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan. Ia memberikan makna dan impak sangat besar kepada pada umat Islam yang menyertai program ini.
Soalan 2: Pada tahun ini, pertama kali Indonesia dan Malaysia berkolaborasi. Apakah mesej penting yang akan dikongsikan ustaz mengenai kolaborasi tersebut dalam membawa al-Quran ke mata dunia?
Pertama kali dua negara Muslim besar dan terbesar di dunia berkolaborasi dalam program berinteraksi dengan al-Quran. Ini memberi gambaran luar biasa bagi umat Islam sedunia dalam membawa mesej penting bahawa Islam itu perdamaian, anti kekerasan, dan penyatuan. Ia juga menafikan tuduhan Islam sebagai radikal dan menyokong ekstremisme. Kita bangsa Melayu, sudah tiba saatnya pada zaman ini, dengan izin ALLAH mendapat giliran untuk mengibarkan bendera Islam yang Rahmatan Lil Alamin.
Soalan 3: WQH kali ini membawa misi Surah Ar-Rahman yang mengandungi 4 nikmat iaitu, al-Quran, al-Insan, Al-Bayyan, matahari dan bulan. Boleh Ustaz jelaskan apakah signifikan Surah Rahman sebagai solusi dalam menghadapai cabaran tauhid, sistem sosial, komunikasi dan fizikal?
Setiap Muslim yang bertauhid dalam beragama tiada keraguan, ketakutan dan kecemasan kerana ALLAH memperkenalkan diri-Nya yang Maha Pengasih, rahmanul dunia wa rahimul akhirat. Mereka yakin ALLAH Maha Pengasih kepada semua makhluk-Nya. Oleh itu, orang bertauhid akan berlapang jiwa untuk berkasih sayang kepada sesama makhluk ALLAH. Bahkan ALLAH SWT Ar-Rahim yang Maha Pengampun mengampuni orang beriman.
Terdapat empat nikmat yang disebutkan dalam Surah Ar-Rahman iaitu al-Quran, al-Insan, al-Bayan dan matahari serta bulan. Al-Quran merupakan nikmat terbesar yang diperlukan oleh manusia. Al-Quran mengajar manusia mengenai sistem sosial. Mereka yang menghayati Surah Ar-Rahman dipenuhi rasa cinta, kasih, damai, bersatu dan harmoni dalam bersosial, bermula dengan keluarga, bangsa dan negara. Kesatuan sosial paling besar adalah masyarakat dunia Islam yang membawa perdamaian. Sosial masyarakat yang dibangunkan Islam berpandukan al-quran adalah masyarakat dunia yang didasari dengan cinta kasih keadilan dan mendahulukan kepentingan umum berbanding peribadi.
ALLAH Ar-Rahman memberi nikmat al-Bayan kepada kita untuk berkomunikasi dengan berbicara dan memberi penjelasan. Pola komunikasi seorang muslim dimulakan dengan Bismillah dan diakhiri dengan Alhamdulillah. Pertama kali Muslim berkomunikasi dengan memberi salam. Inilah pola komunikasi hamba Ar-Rahman, yang menyebarkan rasa kasih sayang dan mendamaikan. Rasulullah SAW menyarankan kita untuk menyebarkan ucapan salam dalam kalangan umat Islam. Pola komunikasi al-Bayan juga membuatkan manusia berkomunikasi dengan alam sekitar dan makhluk lain berdasarkan tauhid, asma’ Ar-Rahman.
Dari segi fizikal, manusia mendapat kesihatan dan kekuatan tubuh badan untuk memberi manfaat. ALLAH memberi kekuatan kepada manusia terutama energi luar seperti matahari. Dalam al-Quran, peribadi seorang Muslim adalah menjaga keseimbangan antara roh dan fizikalnya. Mereka bersyukur kepada Penciptanya dan mampu memberi manfaat secara positif kepada alam.
Soalan 4; Bagaimana Surah Ar-Rahman boleh menjadi solusi mengembalikan keharmonian global atau Reboot Global Harmony, seterusnya membawa rasa syukur?
Surah Ar-Rahman boleh menjadi solusi keharmonian global atau Reboot Global Harmony, seterusnya membawa syukur kepada ALLAH SWT. Surah tersebut menggambarkan pelbagai sisi kasih sayang ALLAH dan boleh menjadi panduan hidup bagi Muslim. Saat ini, masyarakat global kehilangan orientasi kemanusiaan dimana manusia menghambakan sesama manusia. Lebih lagi mereka menghambakan kepada ciptaan manusia sendiri dengan bertuhankan teknologi, wang dan kekuasaan. Pasti inilah menyebabkan kekacauan global dalam bentuk kesombongan manusia untuk menjadi orang paling berkuasa, penindas yang lemah dan membuat aturan sendiri sehingga dunia menjadi hancur. Rasulullah SAW menjadi solusi Rahmatan lil Alamin. Konsep Surah Ar-Rahman sebagai solusi global sosial. Insya-ALLAH, manusia akan menjadi selain menyayangi, menghargai dan menghormati hak-hak orang lain.
Dalam Surah Ar-Rahman menunjukkan hak manusia yang pertama adalah hak agama, diikuti dengan hak kemanusiaan, kebebasan berbicara dan hak kesaksamaan terhadap sumber alam di sesebuah negara, seterusnya membawa manusia kepada kesyukuran. Sumber alam tidak boleh dikuasai sewenang-wenangnya oleh mereka yang berkuasa dan kaya-raya. Ini makna Reboot Global Harmony yang diharapkan oleh Islam dan sistem sosial sebegini yang akan membuatkan manusia sentiasa dalam suasana bersyukur.
Manusia yang mengambil berat tentang dan sayangkan alam akan menjauhi sikap memonopoli dan mengeksploitasi alam tanpa keseimbangan. Apabila Ar-Rahman jadi falsafah dalam pembuatan undang-undang, dan peraturan perlembagaan, maka tiada lagi kekejaman dan kekuasaan yang menyalahgunakan undang-undang. Tetapi jika ini terjadi, berlakulah penindasan untuk menguatkan yang kuat, memiskinkan yang miskin dan mengkayakan yang kaya. WQH menjadi penting dalam menyampaikan pesanan sejagat kepada global melalui Surah Ar-Rahman dalam empat pola iaitu tauhid, sistem sosial, komunikasi dan fizikal berdasarkan nikmat al-Quran, al-Insan, al-Bayyan, dan matahari serta bulan.
5.Pandangan Ustaz mengenai hikmah di sebalik wabak Covid-19 yang perlu kita pelajari dan syukuri?
Hikmah di sebalik wabak Covid-19 yang terbesar adalah rahmat ALLAH SWT. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW, bahawa penyakit taun atau pandemik global seperti Covid-19 adalah rahmat bagi yang beriman tetapi azab bagi yang kufur. Jika ada orang beriman berada di wilayah pandemik atau wilayah epidemik tetaplah berada di dalam wilayah tersebut. Tidak usah takut mati kerana tiada hubungannya antara kematian dengan virus (taun).
Hidup dan mati di tangan ALLAH SWT. Begitu juga seorang Mukmin yang berada di luar wilayah pandemik atau epidemik, jangan masuk agar tidak meninggal dunia di wilayah pandemik adalah kerana virus. Itu salah. Semua adalah kerana ALLAH SWT. Jadi hikmah di sebalik semua itu adalah rahmat ALLAH SWT yang ditunjukkan kepada kita. Bahkan jika ada seorang Muslim yang meninggal dunia akibat suspek diserang Covid-19, Rasulullah SAW bersabda seorang Muslim yang meninggal dunia akibat epidemik atau pandemik ini adalah orang yang mati dalam syahid, setelah melakukan pelbagai usaha. Ini adalah rahmat ALLAH SWT.
Namun ada rahmat lain yang secara sosial kita rasakan. Pertama, manusia disarankan untuk menjalani hidup bersih sebagaimana dianjurkan oleh syariat Taharah. Paling minimum menjaga wuduk lima waktu, sering mencuci tangan, memakan makanan halal dan tayyibah, mengambil makanan bernutrisi yang memberi imunisasi dan meningkatkan daya tahan tubuh badansehingga tidak mudah diserang penyakit. Selain pola pemakanan halalan tayyiban, ada penjarakan sosial. Secara fizikal, kita memang diminta untuk berjarak agar setiap daripada kita pandai berinteraksi sosial mana yang mahram dan bukan mahram, mana yang bersih dan kotor. Tidak menjalani hidup sebagaimana haiwan yang tidak mampu membezakan antara halal dan haram, bersih dan kotor.
Begitu juga antara hikmah besar pada masa kini adalah kembali kepada keluarga. Bekerja dari rumah secara dalam talian. Kini manusia mampu mengerjakan banyak hal dari rumah dengan efektif dan efisien. Mungkin ada penjelasan mengapa ada larangan pergi ke masjid. Mungkin selama ini, bersama umat Islam secara fizikal berjemaah di masjid tidak disertai dengan kesatuan hati dan persaudaraan hati sehingga satu masjid berjemaah namun saling tidak mengenal antara satu sama lain. Paling mengecewakan adalah perpecahan di antara kelompok Islam meskipun sama solat, kiblat dan masjid. Kita dipisahkan dahulu untuk muhasabah diri.
6.Keistimewaan al-Quran di bulan Ramadan dan bagaimana kita hendak menjadikan al-Quran sebagai solusi dalam menangani ujian ALLAH di akhir zaman?
Al-Quran di bulan Ramadan tidak dapat dipisahkan. Ia jelas disebut dalam Surah al-Baqarah. Pada bulan Ramadan, al-Quran diturunkan. Bahkan sebelum syariat puasa, al-Quran terlebih dahulu disyariatkan di bulan Ramadan. Bahkan syariat berpuasa pun demi memudahkan al-Quran untuk masuk ke jiwa manusia. Pada hakikatnya Ramadan untuk melaparkan fizikal sementara, dan mengenyangkan roh dengan al-Quranul Karim.
Maka tidak diragukan lagi perkara paling utama dilakukan di rumah adalah tilawah al-Quran, iaitu banyak berinteraksi dengan al-Quran dan memperbanyakkan khatam al-Qura, sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah SAW bersama Jibrail AS. Pada Ramadan tahun ini yang sangat bersejarah yang disertai Covid-19 dalam rangka akhir zaman. Antara tanda-tanda akhir zaman adalah munculnya permulaan dajjal. Tanda-tanda akan berkuasa dajjal yang pada akhirnya akan dilumpuhkan oleh Imam Mahdi. Orang yang berpegang kepada al-Quran tidak tersihir, tertipu, lalai dan tipu daya serta penyesatan oleh dajjal.
Orang yang membaca al-Quran akan menghindari daripada kemaksiatan dan kefasikan manusia. Antaranya, lahirnya seorang majikan daripada ibu yang dijadikan hamba sahaya. Al-Quran menjadikan manusia untuk sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai kemanusiaan termasuk menghargai ibu bapa. Selama manusia berpegang kepada al-Quran, maka manusia di akhir zaman manusia tetap akan selamat kerana pada masa ini ramai orang miskin, berbaju compang-camping yang digambarkan oleh Rasulullah SAW, bahkan tidak punya selipar tapi mampu berlumba-lumba membangunkan gedung-gedung yang tinggi, dan menara yang menjulang ke langit.
Pada hal mereka adalah orang miskin kerana sistem riba, sistem kapitalisme, dunia materialisme dajjal sudah menjadi sistem di dunia. Namun orang yang berpegang kepada al-Quran tetap dengan kemuliaannya dan tidak hanyut dalam arus kehidupan akhir zaman yang membahayakan. Apa yang pasti orang beriman sentiasa menjaga ketakwaannya di akhir zaman ini kerana menyedari pada situasi yang tidak biasa. Selama al-Quran ada di tangan, selama itu dia mendapat petunjuk, cahaya, bimbingan, aturan yang terang di hadapan matanya.
7.Pandangan Ustaz bagaimana kita boleh mengukuhkan keluarga terutama ayah sebagai ketua keluarga dengan al-Quran?
Ada ayah yang berperanan sebagai ayah biologi, tetapi ayah yang membaca dan menjadikan al-Quran sebagai panduan keluarga, tidak hanya menjadi ayah biologi tetapi ayah idealogi. Ketika ayah sudah mampun menjadi ketua keluarga dengan panduan al-Quran, maka seisi keluarga akan dipimpin oleh ayah ke syurga, kepada permulaan syurga di dunia, rumahku syurgaku. Ayah akan melindungi keluarga daripada pelbagai perkara haram masuk ke rumah. Sesuatu yang haram boleh menyebabkan keluarga bercerai-berai. Ayah yang berpegang kepada al-Quran menjadikan rumahtangga begitu jelas visi dan misi, tidak seperti kebanyakan keluarga yang mengikuti peradaban keluarga yang lalu, semata membesarkan fizikal anak-anaknya.
8.Bagaimanakah aktiviti WQH di Indonesia pada 13 Mei ini?
Di Indonesia, kempen World #QuranHour mulai berjalan dengan menyebarkan video di media sosial. Kami juga bekerjasama dengan beberapa media nasional, media Islam, para seleberiti dan influencer yang sudah berhijrah untuk bergabung bersama kami menjayakan World #QuranHour.
8.Apakah harapan Ustaz kesan atau impak program WQH selepas ini?
Harapan saya semoga impak program World #QuranHour selepas ini memberikan kesedaran kepada ummah untuk membaca al-Quran khususnya Surah Ar-Rahman dan menjadi Muslim yang menyebarkan kasih sayang, perdamaian, dan mengutamakan penyatuan dan mengkomunikasikan Islam dan al-Quran dengan cara yagn cerdas dan simpati sehingga membuat seluruh manusia di dunia memandang Islam yang sebenarnya. Harapan saya juga gerakan kesan sejagat melalui World #QuranHour mendapat taufik dariapda ALLAH SWT dan kita akan terus bekerjasama membesarkan ALLAH sepanjang masa.