KUALA TERENGGANU- Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan seorang pemuda yang mengamuk dengan parang di tempat awam minggu lalu, menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak.
Hakim, Nooriah Osman memerintahkan demikian terhadap Amiro Ikbar Bidi, 25, selepas pertuduhan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) dibacakan oleh jurubahasa kepadanya.
Iklan
Iklan
Pemuda dari Kampung Binjai Berambu, di sini itu didakwa membawa senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah parang di pekarangan hadapan Desa Murni Batik Pengadang Baru, di sini, pada jam 4 petang, 8 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim, Nooriah menetapkan sebutan kes pada 21 Jun depan.
Sebelum ini, tular di laman sosial Facebook mengenai video dan gambar seorang lelaki yang mengamuk sambil memegang parang panjang di satu lokasi sehingga mendatangkan ketakutan kepada orang awam.