KPM beri keutamaan kelas peperiksaan

Iklan
Muslimim (kiri) membaca terjemahan al Quran sambil diiringi Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah di sini hari ini. - Foto MOHD IZARI ROSLI

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberi keutamaan kepada kelas-kelas yang melibatkan peperiksaan awam sahaja sekiranya sesi persekolahan kembali dibuka.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimim Yahaya berkata, ketika ini pihak kementerian telah mengadakan simulasi di Selangor untuk melihat pelaksanaan garis panduan pembukaan sekolah.

Iklan
Iklan

"Buat permulaan saya sudah pun turun di dua buah sekolah bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk melihat bagaimana susun atur untuk permulaan, jika sekolah-sekolah ini kembali dibuka.

"Bagaimanapun sebelum sesi persekolahan dibuka, kami akan memaklumkannya dua minggu lebih awal dan hanya kelas peperiksaan awam akan diberi perhatian seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sahaja,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini pembukaan sesi persekolahan selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan bantuan frontliners daripada Majlis Guru Besar Selangor kepada Tabung Covid Sinar dan program Word #Quran Hour di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muslimim berkata, KPM juga masih belum ada perancangan untuk membuka sesi persekolahan kepada pelajar lain terutamanya di peringkat sekolah rendah dan sebagainya.

Iklan

"Kita tahu kita berhadapan dengan satu senario yang kita tak nampak dan berperang dengan sesuatu yang kita tak nampak. Adalah menjadi dasar keselamatan kita untuk memberi keutamaan kepada kelas peperiksaan.

"Alhamdulillah simulasi kelas peperiksaan yang kita jalankan ini nampaknya berjalan lancar dengan menggunakan kaedah yang terbaik bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muslimim berpendapat pengajaran dan pembelajaran maya melalui atas talian menjadi satu normal baharu yang kini mula diterima.

"Saya lihat proses ini sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan guru untuk mengamalkan kerja-kerja berkaitan dengan teknologi, walaupun mereka bekerja dari rumah tetapi maklumat pengajian pembelajaran itu sampai kepada anak murid.

"Malah KPM juga mengambil inisiatif untuk membangunkan semula TV pendidikan supaya akses kepada pembelajaran itu sampai kepada anak murid walaupun di mana mereka berada,” katanya.