PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti bagi mempertimbangkan pembukaan semula sektor sosial dan pendidikan.
Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia bergantung kepada kes jangkitan harian Covid-19.
"KKM meneliti untuk membuka semula sektor sosial dan pendidikan namun ia bergantung kepada kes harian," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, kebolehjangkitan koronavirus (Covid-19) telah menurun hasil keberkesanan pendekatan kerajaan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) satu hingga empat.
"Jika dilihat kepada graf permodelan dan ramalan KKM, nilai R Naught (RO) pada permulaan PKP adalah 3.5 dan ia berjaya diturunkan sehingga 0.3 susulan impak positif tindakan PKP," katanya.
Beliau berkata, nilai RO boleh menurun sekiranya langkah-langkah pencegahan yang tepat dijalankan secara berterusan dalam masyarakat.
"Nilai ini boleh meningkat semula sekiranya masyarakat leka dan langkah pencegahan tidak diendahkan," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, menurunkan nilai RO kepada kurang satu secara berterusan dapat membantu mengakhiri wabak.
"Kita jangkakan minggu hadapan dapat mencapai angka satu digit," katanya.
Berdasarkan permodelan dan ramalan Covid-19 yang dijalankan Institut Kesihatan Negara (NIH) KKM, wabak Covid-19 akan berakhir sekitar 30 Jun atau 2 Julai sekiranya prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
"Nilai RO 0.3 hari ini adalah hasil daripada aktiviti kesihatan awam yang dijalankan sebelum ini namun ia boleh meningkat kepada nilai 1.6 pada sekitar 22 Jun sekiranya pengabaian SOP dilakukan," katanya.
Menurutnya, peningkatan nilai RO 1.6 akan menjadi amaran awal kepada KKM bahawa kes jangkitan makin meningkat.
"Justeru KKM merayu semua peringkat lapisan masyarakat mengambil tanggungjawab sosial dan memainkan peranan masing-masing dalam membendung wabak Covid-19," katanya.