GEORGETOWN - Pelanggan dibenarkan menikmati makanan di dalam restoran yang beroperasi di pusat membeli-belah dan pasar raya di Pulau Pinang mulai hari ini.
Bagaimanapun, semua pengusaha premis makanan perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan termasuk 14 langkah yang perlu dilakukan semasa menjalankan perniagaan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, antara yang perlu dipatuhi seperti menjalankan ujian saringan kepada pekerja warga asing; merekod nama dan nombor telefon pelanggan selain memastikan pekerja dan pelanggan memakai topeng muka.
Menurutnya, pengusaha premis juga perlu steril semua peralatan makanan selepas digunakan, tidak membenarkan berkongsi peralatan makanan selain hanya pelayan yang boleh menyediakan peralatan, sos dan perkakasan lain kepada pelanggan.
"Pengusaha juga perlu membuat kawalan had masa dan bilangan pelanggan tidak melebihi 50 peratus kapasiti premis dan membuat penjarakan meja 2 meter di dalam kedai serta memastikan pelanggan mengamalkan penjarakan sosial.
"Pekerja juga perlu sentiasa membersihkan meja dengan penyembur pembersihan, menyediakan cecair sanitasi di dalam kedai selain membuat penanda jarak di lantai kaunter pembayaran," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jagdeep berkata, penyediaan makanan bufet tidak dibenarkan dan pihaknya menggalakkan pengusaha premis makanan menggunakan sistem transaksi tanpa tunai untuk urus niaga.
"Semua pengusaha tiada kompromi dalam pematuhan kepada SOP ini dan sekiranya didapati ada ketidakpatuhan berlaku kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka.
"Setakat ini kebenaran berkenaan diberikan kepada premis di 13 pasar raya di kawasan pulau dan 21 di Seberang Perais. Selain itu, kebenaran dine-in turut dibenarkan di hotel dan restoran francais makanan segera," katanya.