MELAKA TENGAH - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan terhadap seorang penganggur kerana merompak beg tangan seorang wanita, Disember lalu.
Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu terhadap Fadhir Ismail, 40, yang membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Iklan
Iklan
Berdasarkan pertuduhan, Fadhir didapati merompak beg tangan berjenama Sammao milik seorang wanita berusia 43 tahun jam 11.40 malam di sebuah restoran di Jalan Persisiran Bunga Raya Pantai di sini, 31 Disember tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah memberikan hukuman ringan terhadapnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim meminta hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan serius dan kepentingan awam supaya dijadikan pengajaran kepada tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula hari ini dan dua sebatan.