Penjaja mengaku salah seludup rokok

Iklan
Empat penjaja mengaku bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas kesalahan memiliki rokok seludup iaitu barangan larangan diimport

KUANTAN - Empat penjaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas kesalahan memiliki rokok seludup iaitu barang larangan diimport.

Tiga tertuduh, Mohd Zuhaidi Mohammad Sauki,33; Mohd Rezli Mohd Shaedin,59, dan Saparuddin Dollah, 53, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nor Azizah Aling, manakala seorang lagi tertuduh, Fuad Mangsor, 31, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Naim Abdullah selepas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Mohd Zuhaidi yang berasal dari Kemasik, Terengganu didakwa memiliki pelbagai jenis rokok seludup yang berjumlah RM343.84, Mohd Rezli dari Kampung Baru, Lorong Seri Teruntum (RM100.16), Saparuddin Dollah, 53, dari Kuala Krau (RM253.80) manakala Fuad dari Langkawi, Kedah (RM220.52).

Kesemua mereka melakukan kesalahan itu di antara jam 10 hingga 10.15 pagi di kaunter jualan rokok tepi Jalan Pasar Baru 1, Pasar Besar Kuantan di sini pada 4 Januari lalu.

Iklan

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 153 (1) (b) (aa) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 (mana lebih tinggi) sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 (mana lebih tinggi) serta hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali termasuk denda.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Kastam, Mohd Khairuddin Niesha Mohd Shafee manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Khairuddin menawarkan setiap seorang berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin untuk Fuad manakala buat Mohd Zuhaidi, Mohd Rezli dan Saparuddin Dollah berjumlah RM7,000 dengan seorang penjamin.

Kesemua mereka perlu melaporkan diri di Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Pahang pada setiap Isnin minggu pertama.

Keputusan hukuman mereka akan ditentukan pada 21 Februari depan selepas ujian kimia diperoleh.