PERSATUAN Bolasepak Kelantan (Kafa) yakin mampu menjelaskan tunggakan gaji bekas pemain importnya, Cassio Francisco De Jesus bagi mengelak skuad The Red Warriors (TRW) itu daripada dikenakan tindakan tegas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Setiausaha Agung Kafa, Husin Deraman berkata, keyakinan itu hadir berdasarkan sokongan padu dalam kalangan peminat dan penyokong TRW dari dalam dan luar Kelantan yang mula menghulurkan sumbangan derma sejak dilancarkan Sabtu lalu.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada penyokong TRW yang tampil memberikan sumbangan dalam bentuk kewangan dalam membantu meringan beban dihadapi Kafa pada masa ini.
"Masa kita lancar tabung itu kelmarin (Sabtu lalu) ada yang menyumbang RM1 dan ada menyumbang RM10. Situasi tersebut menyebabkan kita pada mulanya tidak berapa yakin.
Bagaimanapun menurutnya, situasi berubah hari ini apabila ada berapa kelab penyokong yang menyumbang lebih RM500 sekali gus mengembalikan semula keyakinan Kafa untuk menyelesaikan tunggakan gaji Cassio.
"Cumanya KAFA merayu sekali lagi kepada penyokong setia TRW di seluruh negara untuk terus memberikan sumbangan seikhlas hati bagi membantu Kafa menyelesaikan masalah ini.
"Jawatankuasa Bertindak Kafa uga sedang bergerak untuk merayu kepada pihak penaja TRW untuk menjelaskan segera bayaran penajaan. Sekiranya boleh, Kafa minta diawalkan bayaran itu bagi membolehkan duit dikumpul,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Dalam pada itu, Husin mengakui beberapa penaja mula menghantar surat kepada pihaknya untuk mengkaji semula aspek penajaan terhadap skuad TRW yang bersaing dalam Liga Premier musim ini.
"Kafa meminta pihak penaja TRW untuk menangguhkan dulu permintaan mereka kerana status saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 masih belum diketahui lagi sehingga hari ini.
"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sememangnya bercadang untuk menyambung kembali saingan Liga-M pada September depan tetapi belum ada sebarang pengesahan.
"Jadi Kafa minta pihak penaja pasukan untuk bersabar dulu sambil menanti keputusan penyambungan liga. Sekiranya penaja membatalkan penajaan sekarang, jadi no point jugalah jika saingan liga bersambung,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kafa , Ahmad Muzakkir Hamid memaklumkan, pihaknya mengumpul sebanyak RM6,904.57 sehingga jam 12.30 tengah hari semalam.