MELAKA TENGAH - Pasar raya yang mengambil kesempatan menjual topeng muka dengan harga mahal kepada pelanggan yang hendak memasuki premis mereka akan dikenakan tindakan tegas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, semua pasar raya diingatkan mematuhi harga siling yang ditetapkan kerajaan bagi topeng muka tiga lapisan iaitu pada harga RM1.50 seunit.
Menurutnya, tindakan menaikkan harga merupakan satu kesalahan dan pasar raya boleh dikenakan tindakan pihaknya mendapati aduan dikemukakan benar-benar berlaku.
"Mereka yang menjual lebih daripada harga yang ditetapkan RM1.50 sekeping memang melanggar akta dan merupakan satu kesalahan.
"Jika ada aduan kami akan bertindak, jadi aduan penting supaya kami boleh mengambil tindakan kepada pasar raya itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai segelintir pasar raya yang didakwa mengambil kesempatan menaikkan harga topeng kepada individu yang tidak membawa topeng muka sendiri sebagai syarat untuk masuk ke pasar raya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kapit itu melawat operasi pengeluar makanan dan minuman terbesar, Mamee-Double Decker (M) Bhd (Mamee) di Ayer Keroh di sini hari ini.
Katanya, lawatan berkenaan bagi meninjau stok bekalan barang makanan kering untuk menampung permintaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sebagai persediaan menyambut perayaan tidak lama lagi.
Alexander berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kementerian tersebut membuat sebanyak 53,349 pemeriksaan dan pemantauan membabitkan 40,469 peruncit; 11,453 pemborong serta 1,427 pengilang.
"Hasil tinjauan pasaran yang dijalankan mendapati stok bekalan barang kering mencukupi dan stabil," katanya.
Sementara itu, menurutnya, Skim Kawalan Harga menjelang musim perayaan akan diumumkan dalam masa terdekat ini bagi memastikan tiada peniaga yang cuba menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.