World #QuranHour dekatkan masyarakat dengan al-Quran

Iklan
Zulkifli

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyokong penuh penganjuran program World #QuranHour yang disifatkan sebagai usaha yang munasabah bagi mendekatkan masyarakat dengan al-Quran.

Menurutnya, penganjuran program itu mampu mengembalikan budaya masyarakat dahulu yang sentiasa mendampingi al-Quran.

Iklan
Iklan

"Tidak sebagaimana khalayak masyarakat zaman dahulu, al-Quran sentiasa meniti di bibir dan mereka kelek dengan tangan mereka senaskhah al-Quran dan mereka junjung, mereka baca.

"Kita lalu tepi-tepi rumah di kampung yang mungkin tidaklah sekukuh rumah zaman sekarang, tetapi kita tengok nenek atau kita dengar suara nenek, suara opah, suara atuk, suara pak cik, mak cik, suara pak da, mak da sedang baca al-Quran pada waktu petang.

Iklan

"Bukan semata-mata hanya baca Yasin pada malam Jumaat, tetapi lebih daripada itu. Itulah budaya mereka dahulu dan budaya ini adalah budaya Islam yang cukup baik. Mereka tetap beribadat dengan al-Quran Karim," katanya ketika berucap pada Program World #QuranHour di TV Al-Hijrah semalam.

Menurut Zulkifli, al-Quran adalah khazanah ALLAH SWT yang boleh diibaratkan seperti mata air yang tidak akan habis.

Iklan

"Bila kita ambil lagi jernih lagi jernih dan bila kita cuba dapatkannya dia tetap sentiasa memberikan kepada kita yang terbaik.

"Kami harapkan bahawa al-Quranul Karim akan sentiasa dekat di hati kita dan sentiasa memenuhi jiwa dan hati kita," katanya.