KUALA LUMPUR - Program World #QuranHour edisi kelima yang berlangsung semalam tampil dengan konsep berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19).
Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, walaupun penganjuran World #QuranHour berbeza, namun ia berjalan dengan lancar.
Menurut Hussamuddin, World #QuranHour tahun ini dengan tema Reboot Global Harmony memilih Surah Ar-Rahman sebagai surah pilihan mengajak umat Islam menghargai ekosistem dan nikmat dikurniakan ALLAH SWT.
"Kira-kira lebih satu jam ini kita dapat menyampaikan mesej Surah Ar-Rahman terus ke jantung dan hati ummah dan sesuai dengan tema World #QuranHour tahun ini iaitu Reboot Global Harmony.
"Setelah hampir dua bulan berkurung, kita dapat memperbaiki hubungan kita dengan ALLAH, perbaiki hubungan dengan manusia melalui digital teknologi dan membaiki hubungan kita dengan alam.
"Biasanya kita buat (World #QuranHour) di ground event tetapi kali ini kita bersiaran langsung kerana tidak boleh mengadakan program yang besar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Alhamdulillah ALLAH permudahkan. Empat stesen TV (Alhijrah, Astro Oasis, RTM1 dan BernamaTV) bergabung menyiarkan program kali ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.Beliau ditemui selepas berakhirnya siaran langsung World #QuranHour yang disiarkan TV Alhijrah dari Kompleks Pusat Islam di Kuala Lumpur di sini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.
Terdahulu, bacaan Surah Ar-Rahman ayat 1 hingga 78 dipimpin qari Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman sementara sesi tadabbur al-Quran dikendalikan Ketua Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.Hussamuddin berkata, program sejam World #QuranHour pada 20 Ramadan setiap tahun itu akan diperluaskan menerusi gabungan dengan lebih banyak negara pada masa akan datang.
Menurutnya, penggunaan bahasa Melayu, Inggeris dan Arab juga akan diperkenalkan dalam program utama di Malaysia, namun di negara-negara luar mereka boleh menggunakan bahasa masing-masing.
Beliau juga berharap organisasi Islam di seluruh dunia dapat mengambil World #QuranHour sebagai satu model untuk melahirkan perubahan dalam sistem nilai manusia sejagat.
"Kalau semua umat Islam di setiap negara itu dapat berubah menjadi ummah yang perkasa, kita boleh capai satu ekosistem yang betul-betul seperti digambarkan oleh al-Quran. Al-Quran adalah solusi sejagat untuk semua termasuk haiwan dan alam,” katanya.