SUBANG JAYA - Seorang warga Kazakhstan antara lima wanita dicekup selepas disyaki terlibat kegiatan pelacuran di sebuah hotel di USJ 1 di sini hari ini.
Kegiatan tidak bermoral itu dibongkar Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Ops Noda, kira-kira jam 4 petang.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, serbuan terbabit berjaya menahan lima wanita warga asing berusia lingkungan 24 hingga 35 tahun di dalam bilik hotel berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati wanita terbabit terdiri daripada tiga warga China, seorang warga Mongolia dan seorang warga Kazakhstan.
"Siasatan dipercayai wanita terbabit menawarkan harga RM330 hingga RM350 untuk layanan selama 45 minit dan RM2,000 bagi semalaman.
"Turut dirampas beberapa barang seperti telefon bimbit, kondom, minyak pelincir serta wang tunai," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, pihaknya percaya kegiatan tersebut didalangi seorang lelaki tempatan yang aktif di sekitar Subang Jaya sejak sebulan lalu.
"Sindiket ini juga dikatakan menyewa bilik hotel terbabit untuk dijadikan sebagai tempat aktiviti pelacuran.
"Sindiket juga aktif mencari pelanggan mereka dengan menggunakan aplikasi WeChat dan WhatsApp," katanya.
Katanya, kesemua ditahan telah dibawa ke Balai Polis USJ8 untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 372(b) Kanun Keseksaan.