Gulai berempah ikan yu istimewa dari Terengganu

Iklan
Razali menunjukkan gulai berempah ikan yu yang dimasaknya.

KUALA TERENGGANU - Saat-saat gembira setiap kali melihat ayahnya membawa pulang ikan yu, pastinya tidak dapat dilupakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris.

Dilahirkan dalam keluarga nelayan, Razali mengakui ikan yu merupakan antara ikan mewah bagi mereka, apatah lagi keenakan rasanya membuatkan mereka kecur liur setiap kali ibu tercinta, Pekan Said, memasak hidangan gulai berempah ikan yu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hidangan itu antara masakan istimewa bagi masyarakat pesisir pantai Terengganu kerana tidak ramai yang mempunyai kemahiran memproses dan memasak ikan berkenaan.

"Memasak ikan yu bukanlah tugas yang mudah kerana ia akan berbau hanyir kalau silap caranya. Nak memprosesnya bukan sebagaimana ikan darat atau dengan cara menarik kulitnya.

Iklan

"Sebaliknya kulit ikan yu perlu disental dengan jaring atau berus supaya teksturnya menjadi licin dan halus serta hilang lendirnya, kerana hanyir ikan yu ada pada kulitnya.

"Selain itu, masakan ikan yu juga perlu menggunakan daun kesom. Tapi, kalau ada daun kesom sekalipun tapi kulitnya tidak disental dengan baik, ia tetap akan berbau hanyir," katanya yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu di sini baru-baru ini.

Iklan
Razali menunjukkan bahan-bahan untuk memasak gulai berempah ikan yu. Gambar kanan: Ikan yu yang dalam proses untuk dimasak.

Jelas Razali, arwah ibunya seorang tukang masak dan kemahiran itu diwarisi adik beradiknya, terutamanya kakak sulung, Fatimah Idris, 71, yang cukup mahir dan pakar masakan ikan yu.

Kemahiran itu kemudiannya diwarisi isterinya, Nor Aizam Abu Bakar, 50, yang turut sama belajar cara-cara memasak dan petua mengendalikan ikan itu daripada kakaknya.

"Keistimewaan ikan yu adalah semua bahagian boleh dimakan, termasuk tulang dan perut. Tulangnya apabila dimasak akan menjadi rapuh manakala isinya putih dan cantik.

"Rasanya memang sedap dan biasanya dimasak gulai berempah dan tumis. Tapi malangnya orang yang mahir memasak ikan ini sudah tidak ramai," katanya.

________________________________________

GULAI BEREMPAH IKAN YU

Bahan-bahan:

Ikan yu

Santan

Rempah gulai

Daun kesom

Bawang merah*

Bawang putih*

Lengkuas*

Kunyit hidup*

Halia*

Cili padi*

Cili giling

Air asam jawa

Garam/gula/perasa

Minyak untuk menumis

Cara-cara memasak:

- Bersihkan ikan

- Kisar bahan-bahan bertanda*

- Panaskan minyak dan tumis bahan yang sudah dikisar halus

- Masukkan cili giling, air asam jawa, garam, gula dan perasa jika suka

- Kemudian masukkan rempah yang sudah dibancuh dengan sedikit air

- Setelah rempah cukup masak, masukkan ikan yu dan tambahkan sedikit air

- Renehkan sekejap, kemudian masukkan santan

- Masukkan daun kesum apabila hampir masak