BEKAS pemain Liverpool, Jonjo Shelvey mengakui kesilapan meninggalkan The Reds pada 2013 dan menyertai Swansea City untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan.
Pemain berusia 28 tahun itu yang kini menyarung jersi Newcastle United percaya dia akan lebih mendapat peluang bermain sekiranya terus kekal di Anfield.
"Saya berusia 21 tahun ketika mengambil keputusan untuk meninggalkan Liverpool. Saya tidak rasa anda akan jumpa pemain yang hadir ke sesebuah kelab pada usia 17 tahun dan meninggalkan pasukan pada usia 21 tahun.
"Saya tidak gembira untuk bermain satu atau dua perlawanan dan diletakkan di bangku simpanan. Saya mahu bermain dengan lebih kerap.
"Saya rasa itu adalah perasaan yang saya mahukan tetapi, saya rasa saya peru terus berada di kelab. Mungkin saya perlu kekal dalam tempoh dua atau tiga tahun untuk dan melihat bagaimana keadaanya selepas itu," katanya.
Shelvey menyertai Liverpool pada 2010 dari Charlton, namun tidak berjaya menampilkan prestasi yang diingini selain turut pernah dipinjamkan ke Blackpool pada 2011.
Walaupun telah menandatangani kontrak baharu bersama Liverpool pada 2012, dia mengambil keputusan berhijrah ke Swansea City pada tahun berikutnya untuk mendapatkan lebih banyak peluang bermain.
Dia bermain bersama Swansea sehingga 2016 kemudian berpindah ke Newcastle dan kini menjadi pemain penting di The Magpies.
"Secara jujurnya saya mungkin akan lebih bagus dan baik sekiranya tidak membuat keputusan untuk meninggalkan Liverpool.
"Jangan salah sangka. Saya gembira di Newcastle dan mempunyai karier yang bagus. Cuma saya terkenang adakah saya mampu untuk menjadi pemain yang lebih bagus sekiranya tidak meninggalkan Liverpool. Mungkin juga saya boleh bermain di Liga Juara-Juara," katanya.