KUANTAN - Pertubuhan Pengusaha Mineral Negeri Pahang (PPMNP) berhasrat untuk mengadakan sesi dialog bersama Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar berhubung moratorium dan hala tuju aktiviti perlombongan bauksit di negeri ini.
Naib Pengerusinya, Datuk Yap Soon Huat berkata, hasrat itu disampaikan kepada menteri berkenaan melalui surat bertarikh 8 Januari lalu.
Menurutnya, hasrat itu dibincangkan pada mesyuarat bersama Persatuan Industri Perlombongan Pahang (PIPP) pada 4 Januari lalu di mana kedua-dua pihak bersepakat dan bersetuju untuk adakan dialog berkenaan.
"Pihak kementerian melaksanakan moratorium ke atas perusahaan bauksit bermula 15 Januari 2016 dan dilanjutkan sehingga 31 Mac 2019.
"PPMNP merasakan keputusan kementerian melanjutkan tempoh moratorium tidak adil kerana tidak mendengar pendapat dan perbincangan bersama kami sebagai wakil utama bagi pemilik tanah dan pengusaha lombong yang terlibat dalam aktiviti perlombongan bauksit di Pahang,” katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.
Soon Huat berkata, PPMNP tidak mendapat peluang menjelaskan keadaan sebenar dilalui pengusaha bauksit di Pahang.
"Antara perkara yang perlu dibincangkan termasuk isu tapak simpanan (stockpile) di kawasan Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman serta baki simpanan bauksit di Kuantan.
"Pada masa sama, aspek pemantauan bagi pematuhan undang-undang oleh pengusaha bauksit secara kendiri dalam aktiviti perlombongan mineral ini juga perlu dibincangkan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga mahu mendengar penjelasan berkaitan aktiviti bauksit yang dijalankan di Johor dan Prosedur Operasi Srandard (SOP) yang digunakan.
"Perkara ini perlu ada titik penyelesaian untuk kepentingan semua pihak,” katanya.
Bagaimanapun, tarikh dialog belum ditetapkan sebaliknya terserah kepada kelapangan Xavier.