KUALA LUMPUR - Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) memutuskan enggan tergesa-gesa untuk mendaftarkan kerjasama politik di bawah entiti baharu Perikatan Nasional dalam masa singkat.
Setiausaha BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu dibuat susulan BN berpandangan ia perlu melalui proses tertentu mengikut perlembagaan parti-parti yang bakal menyertai pakatan Perikatan Nasional sebelum kerjasama itu akhirnya dimuktamad dan didaftarkan.
Menurutnya, setakat ini, sekurang-kurangnya 12 parti yang dijangka menyertai Perikatan Nasional secara formal dan setiap parti perlu meneliti agenda itu secara berperingkat bermula di peringkat akar umbi hingga kepada peringkat pucuk kepimpinan parti.
"Oleh kerana gabungan parti-parti dalam Perikatan Nasional kini bekerjasama cukup harmonis dan sedang menguruskan pentadbiran negara dengan baik, maka kita perlu mengekalkan suasana itu.
"Sudah tentu konfigurasi politik itu banyak sensitiviti yang perlu diuruskan maka tidak perlu tergesa-gesa dan setiap parti (dalam Perikatan Nasional) ada prosedur-prosedur tertentu yang mungkin sedikit berbeza antara satu parti dengan parti yang lain.
"Jadi eloklah due process itu dilakukan supaya satu keputusan besar tidak boleh dilakukan hanya oleh pucuk pimpinan tetapi perlu melibatkan hak-hak akar umbi," katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Dewan Tertinggi BN di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan mengumumkan sokongan tidak berbelah bahagi kesemua 43 ahli Parlimen gagasan itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, golongan itu juga berpendirian mengundi secara en-bloc bagi menyokong Muhyiddin jika Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan dengan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Justeru itu, Ahmad Zahid turut menyuarakan ketetapan BN akan menyokong usaha mendaftarkan Perikatan Nasional secara sah, bagaimanapun butiran ketetapan tidak diperjelaskan beliau sebelum ini.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, BN juga tidak menetapkan sebarang had masa untuk menyelesaikan urusan pendaftaran kerjasama politik dalam bentuk entiti Perikatan Nasional.
Menurutnya, perkara paling penting adalah perbincangan antara parti-parti dalam Perikatan Nasional akan terus diadakan bagi memastikan keharmonian hubungan kerjasama politik itu dapat dikekalkan.
"Sudah tentu engagement ini akan terus berlaku dalam suasana keakraban dan harmonis Perikatan Nasional.
"Kita bukan hendak ada pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat pun. Jadi segala-galanya akan dibuat secara tertib dan penuh cermat," katanya.