GEORGETOWN - Kerajaan negeri akan melakukan pemantauan di semua tapak pembinaan dan kilang di negeri ini bagi memastikan mereka mematuhi arahan mewajibkan semua pekerja warga asing menjalani saringan koronavirus (Covid-19).
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap majikan jika gagal mengemukakan bukti ujian saringan yang dilakukan.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengenal pasti seramai 51,208 pekerja warga asing yang terlibat dalam kedua-dua sektor berkenaan di negeri ini.
"Selain itu, pekerja asing dalam sektor lain juga perlu melalukan perkara sama (ujian saringan Covid-19) termasuk dalam bidang makanan dan minuman," katanya kepada media selepas melakukan pemantauan ujian saringan Covid-19 di Padang Polo di sini.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Pekerja asing wajib jalani ujian swab: Ismail Sabri
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang.
Difahamkan, seramai 12,436 pekerja warga asing di negeri ini yang bekerja di 109 tapak pembinaan di bahagian pulau dan 127 di Seberang Perai manakala 36,772 pekerja berkenaan bagi sektor perkilangan.
Sementara itu, Tung Seang berkata, kemudahan pusat ujian saringan Covid-19 di Padang Polo itu dilakukan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melancarkan pergerakan pekerja warga asing berkenaan.
Katanya, inisiatif menyediakan kemudahan pusat ujian saringan itu menjadi perintis di negeri ini dan kos ujian ditanggung majikan masing-masing.
"Kita berharap pekerja warga asing yang sudah menjalani ujian saringan dan didapati negatif dapat mengamalkan gaya hidup bersih dengan norma baharu, menjaga penjarakan sosial bagi memastikan negeri ini bebas daripada penularan Covid-19.
"Selain ujian saringan oleh majikan, pekerja boleh ke klinik panel dan yang berdekatan untuk tujuan itu," katanya.