MELAKA TENGAH - Hasrat seorang pemuda untuk menjadi kebanggaan keluarga dengan menggenggam segulung diploma, hampir terkubur selepas dia dan rakannya mendakwa dibuang dari sebuah kolej swasta tanpa alasan munasabah.
Pelajar jurusan Diploma Kreatif Multimedia C Mathan, 21, berkata, dia mendaftar untuk mengikuti pengajian diploma kemahiran Malaysia di kolej berkenaan sejak Mac tahun lalu sebelum dibuang secara mengejut termasuk 13 orang rakannya yang lain tanpa sebarang notis oleh pengurusan kolej, baru-baru ini.
Menurutnya, bukan sahaja tertekan dengan yuran pembelajaran dan bayaran pinjaman yang dianggarkan mencecah RM16,000 malah kecewa dibuang ketika hampir menamatkan pengajian lebih-lebih lagi alasan diberikan tidak berasas termasuk kerajaan sedia sebagai punca.
"Demi nak dapatkan diploma saya sanggup bekerja sambilan untuk menampung wang pengajian walaupun ada membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) namun tidak mencukupi. Memang kecewa, sepatutnya jika jurusan itu bermasalah dan tiada kuota dari awal lagi mereka perlu maklumkan.
"Bukannya bila kami hampir menamatkan pengajian dan mahu praktikal. Perbuatan ini jelas berbentuk penganiayaan bagi kami,” katanya kepada media ketika Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Mathan berkata, dia yang juga menjaga ayah mengidap sakit jantung berharap isu itu mendapat campur tangan Kerajaan Melaka dan membantu untuk membela nasib penuntut yang didakwa ditipu dan teraniaya.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya menerusi Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi akan menyiasat keseluruhan kolej termasuk semakan menerusi kementerian dan Jabatan Pendidikan Swasta.
"Kita perlu mengetahui status sebenar institut kemahiran yang beroperasi di Jalan Hang Tuah supaya tidak berlaku penipuan pelajar seperti yang didakwa termasuk jaminan mereka terhadap pelajar kolej terbabit.
"Antara alasan yang diberikan (kolej) peruntukan kepada pelajar tidak disediakan dan kita akan memanggil pihak pengurusan untuk berbincang mengenai isu ini dan nasib 14 pelajar yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, 14 penuntut termasuk ibu bapa mereka mengadakan pertemuan dan menyerahkan salinan surat berhubung permasalahan itu di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini, hari ini.