KOTA BHARU - Kelantan kekal tidak membenarkan solat berjemaah terutama tarawih dan solat Jumaat di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Perkara tersebut dimaklumkan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan di sini hari ini.
"Masjid dan surau di Negeri Kelantan masih kekal ditutup sementara kepada awam untuk semua aktiviti termasuk solat Jumaat, solat fardu lima waktu dan solat sunat tarawih berjemaah bermula 13 Mei 2020 sehingga satu kenyataan rasmi baru dikeluarkan oleh MAIK.
"Hanya pegawai–pegawai masjid sahaja dibenarkan hadir untuk melaungkan azan, solat Jumaat di masjid, solat fardu lima waktu, dan solat sunat tarawih,"katanya.
Menurutnya, pegawai masjid yang hadir tetap perlu mematuhi arahan menjaga keselamatan dan perlu melepasi saringan pemeriksaan kesihatan di pejabat kesihatan daerah terdekat.
Beliau juga memberitahu, selain itu, pegawai masjid yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema adalah tidak dibenarkan hadir.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kerajaan Perlis telah memberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini sebagai permulaan bagi membolehkan syiar Jumaat dihidupkan kembali di negeri itu.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika mengumumkan perkara itu dalam kenyataan menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
Bagaimanapun, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah kebenaran itu tidak dapat diizinkan kepada masyarakat awam disebabkan ancaman penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang belum pulih sepenuhnya.
Beberapa peraturan telah disediakan untuk masjid-masjid di negeri tersebut dan antara peraturan berkenaan adalah jumlah jemaah termasuk imam, khatib adalah tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada tiga orang.
Masjid juga tidak dibuka kepada awam sebaliknya, mereka yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat adalah dari kalangan pegawai-pegawai masjid dan ahli jawatan kuasa masjid sahaja.