LUMUT - Polis menahan pengawal keselamatan Galeri Pangkor bagi membantu siasatan susulan kes pecah masuk premis itu hingga menyebabkan kehilangan pelbagai barangan dan artifak bernilai lebih RM15,000, semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan di sebuah lokasi di Pangkor sekitar jam 5 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pengawal berkenaan bertugas di galeri itu setiap hari bermula dari jam 7 malam hingga 7 pagi keesokannya.
"Bagaimanapun, barangan dan artifak yang dilaporkan hilang masih belum ditemui.
"Pengawal itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Artifak sejarah di Galeri Pangkor kena curi
Dalam laporan semalam, Galeri Pangkor di Sungai Pinang, Pulau Pangkor kehilangan pelbagai barangan dan artifak sejarah selepas didapati dipecah masuk.
Antara barangan artifak yang didakwa hilang adalah koleksi duit zaman Jepun, seterika lama dan tembikar antik serta barangan hiasan dengan ada antaranya hampir mencecah 100 tahun.