LIPIS - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan tiga cadangan kepada PH untuk membantu warga peneroka yang tersepit dengan peningkatan kos sara hidup dan kemerosotan pendapatan.
Menurutnya, tiga usaha tersebut dilihat dapat membantu golongan terbabit dalam menghadapi situasi yang sukar ketika ini.
"Kalau mereka nak tolong orang (peneroka) Felda, saya ada tiga cadangan untuk mereka (PH)... pertama, kalaulah saya masih Perdana Menteri, saya akan bagi dana RM1 bilion kepada Felda untuk selesaikan semua masalah yang sedang mereka (peneroka) hadapi ketika ini.
"Mereka kata, Felda banyak hutang sedangkan Felda ada aset berjumlah RM21 bilion, hutang hanya RM8 bilion.
"Maknanya, Felda tidaklah (mengalami) kerugian seperti didakwa... kalau ada (hutang), selesaikanlah. Bukannya hanya membiarkan peneroka memikul beban," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama peneroka Felda Sungai Koyan, di Dewan Jubli Perak, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan calon BN, Ramli Mohd Nor.
Tambah Najib, cadangan keduanya pula, PH perlu menggunakan hubungan erat dengan negara luar untuk memasarkan produk ladang Malaysia.
"Gunakanlah hubungan dengan negara luar untuk memasarkan kelapa sawit kita... kita ada hubungan baik dengan China dan India, gunakan hubungan itu untuk memastikan minyak kelapa sawit boleh dijual kepada negara terbabit," katanya lagi.
Menurut Najib, ketika menjadi Perdana Menteri, beliau telah berbincang dengan Presiden China, Xi Jinping untuk menambah import kelapa sawit dari Malaysia.
"Inilah masalahnya, mereka (PH) batalkan projek dengan negara China dan akhirnya, China ambil kelapa sawit dari Indonesia yang mengakibatkan harga kelapa sawit merudum.
"Cadangan terakhir saya, perluaskan penggunaan biodiesel kerana ia boleh membantu kenaikan nilai kelapa sawit... kita (Malaysia) ada kemampuan untuk memperluaskan penggunaan biodiesel ini kerana memiliki banyak kelapa sawit... apabila ia (biodiesel) digunakan secara meluas, sudah pasti nilai komoditi meningkat dan boleh membantu menambahkan pendapatan peneroka," jelasnya.
Najib dalam ucapannya kemudian meminta pengundi di Sungai Koyan membuat keputusan tepat dalam PRK Cameron Highlands kali ini dan menjadikan kemenangan BN sebagai isyarat bahawa rakyat sudah bosan dan menolak PH.