Melaka belum benarkan solat Jumaat

Iklan
Abdul Halim Tawil

MELAKA TENGAH - Melaka memutuskan untuk mengekalkan larangan pelaksanaan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) biarpun beberapa negeri telah memberi kelonggaran menunaikan solat berjemaah di masjid bermula esok.

Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, larangan itu turut terpakai bagi pelaksanaan solat sunat Aidilfitri yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri itu setelah mengambil kira trend penularan koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan turut memutuskan ‘syiar Jumaat’ di Melaka akan dihidupkan semula pada 29 Mei ini dengan menetapkan kebenaran kehadiran 40 jemaah sahaja di setiap masjid selain beberapa prosedur operasi standard (SOP) akan dirangka Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk dipatuhi agar wabak Covid-19 tidak terus menular.

"Antara kaedah pelaksanaan yang akan ditetapkan termasuk membuat sistem penggiliran di setiap kariah.

Iklan

"Malah jawatankuasa masjid akan membuat jemputan khas kepada 40 jemaah yang layak untuk menghadiri solat Jumaat berkenaan," katanya ketika sidang media di pejabat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Palah di sini, hari ini.

Jelasnya, keutamaan akan diberikan kepada ahli kariah yang berusia 15 hingga 65 tahun yang akan direkodkan kehadiran selain menjalani ibadah dengan mengekalkan konsep penjarakan sosial.

Iklan

"Kita masih ada tiga minggu lagi, jadi keputusan tertakluk kepada perkembangan semasa dan pertimbangan oleh pihak keselamatan negeri dalam melihat isu jumlah ini," katanya.

Tambahnya, jawatankuasa fatwa negeri turut mengambil keputusan untuk menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di setiap masjid sepanjang pelaksanaan ibadah itu berlangsung.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri juga menasihati umat Islam negeri ini untuk menjalankan solat sunat Aidilfitri di kediaman masing-masing dengan diimamkan oleh ketua keluarga dan ia boleh dilakukan tanpa atau dengan khutbah mengikut kemampuan serta kesesuaian ahli keluarga.