KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melanjutkan tempoh memegang jawatan Menteri Besar dan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14.
Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, tempoh lanjutan itu dibuat susulan jawatan yang dipegang Wan Rosdy dan lapan Exco yang telah tamat pada hari ini.
Menurutnya, dua lagi Exco iaitu Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak dan Datuk Abdul Aziz Mat Karim tamat pada 4 Jun hadapan.
"Baginda (Tengku Hassanal) menzahirkan tahniah kepada Wan Rosdy dan kesemua barisan Exco atas lanjutan tempoh pemegangan jawatan itu.
"Diharap agar kesemua barisan kepimpinan kerajaan Pahang dapat terus berkhidmat demi rakyat dan Pahang dengan lebih komited," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 15 Mei 2018, Wan Rosdy mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang yang baharu di Istana Sultan Abu Bakar.
Turut mengangkat sumpah dalam majlis iaitu Exco Pelancongan, Alam Sekitar, dan Perladangan, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, Exco Kebudayaan Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Exco Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian dan Inovasi, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Exco Sumber Manusia, Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Datuk Seri Johari Hussain.
Seterusnya, Exco Sains Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Exco Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Nazri Ngah, Exco Pihak Berkuasa Tempatan dan Perumahan, Rahim muda manakala Mohd Soffi pula memegang jawatan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi dan Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli pula disandang Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Ahmad Khirrizal berkata, diharap Wan Rosdy dan 10 Exco dapat menggembleng usaha bagi memerangi wabak koronavirus (Covid-19).
"Baginda mahu kepimpinan sedia ada terus memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas di samping usaha mengekalkan pertumbuhan ekonomi Pahang," katanya.
Pada 24 Mei 2020, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan meletakkan tempoh dua tahun lantikan jawatan Menteri Besar dan anggota Exco sebagai motivasi untuk memastikan pihak yang dilantik bekerja dengan lebih baik.
Baginda bertitah dalam tempoh berkenaan, baginda akan meneliti prestasi mereka sebelum mengkaji semula tahap perkhidmatan yang telah diberikan untuk rakyat Pahang dan pembangunan negeri ini.