PUTRAJAYA - Petugas barisan hadapan dan warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bertugas secara bergilir-gilir sepanjang musim cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kaedah cuti bergilir-gilir itu telah dilaksanakan setiap tahun di hospital mahupun klinik kesihatan sebagaimana sebelum ini.
Iklan
Iklan
"Walau bagaimanapun ada juga dalam kalangan mereka akan diberikan cuti dan ia bergantung kepada keadaan semasa.
"Jadi setiap hari kita akan memantau dan lihat perkembangan terkini. Sekarang ini kalau kita lihat setiap hari ada dua angka kes dan kita harap kes harian akan kekal dua angka,” katanya pada sidang akhbar harian koronavirus (Covid-19) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memberi penekanan bahawa cuti bergilir-gilir itu juga bergantung kepada penurunan atau pun peningkatan kes Covid-19 itu sendiri.
"Kita masih ada dua minggu lagi untuk melihat bagaimana perkembangan kes selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilakukan sejak 4 Mei lalu.
"Jadi kita akan memantau setiap hari dan sebelum membuat keputusan sama ada kita boleh melepaskan warga kerja KKM untuk bercuti bergantung pada keadaan semasa setiap hari,” katanya.