Hutan Amazon berpotensi jadi pusat wabak Covid-19 baharu

Iklan
Aktiviti penebangan hutan secara berleluasa di Amazon, Brazil didakwa boleh menyebabkan ketidakseimbangan ekologi. - Foto Agensi

SAO PAULO - Pandemik seterusnya boleh berasal dari hutan hujan Amazon.

Amaran itu dikeluarkan ahli ekologi, Dr David Lapola dari University of Campinas di Brazil yang mendakwa pencerobohan manusia ke atas habitat flora dan fauna di kawasan seluas 5.5 juta kilometer persegi itu berisiko menyebabkan penularan koronavirus (Covid-19) baharu pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

"Amazon adalah ‘sumber simpanan’ virus paling besar. Virus boleh tersebar daripada haiwan kepada manusia apabila berlaku ketidakseimbangan ekologi,” katanya yang mengkaji bagaimana aktiviti manusia dapat membentuk semula ekosistem hutan tropika.

Menurutnya, corak sama dapat dilihat ketika penularan virus HIV, Ebola dan demam denggi.

Iklan

"Kesemua virus itu muncul atau merebak secara besar-besaran kerana ketidakseimbangan ekologi. Ini adalah berita buruk dan bukan hanya untuk bumi malah kepada kesihatan manusia,” katanya.

Tahun lalu, penebangan hutan secara berleluasa di Amazon menyaksikan lonjakan sebanyak 85 peratus meliputi kawasan lebih 10,000 kilometer persegi atau bersamaan hampir sama dengan saiz Lubnan.

Iklan

Trend itu berterusan pada tahun ini bermula Januari hingga April yang menunjukkan 1,202 kilometer persegi kawasan hutan hujan itu musnah.

Ketika ini, kebanyakan wabak yang menular di Asia Selatan dan Afrika sering dikaitkan dengan haiwan terutamanya spesies kelawar. - AFP