MohBerbuka fokus bantu pengusaha makanan di Ipoh

Iklan
Koordinator MohBerbuka, Asyraf Hazreen Muhd Azahar (berdiri) dan Nazruul Shafi Abdul Nasir sedang menyemak pesanan diterima daripada pelanggan.

TUJUH rakan karib bergabung tenaga dan kepakaran membangunkan aplikasi jualan makanan berkonsepkan bazar Ramadan dalam talian dikenali sebagai MohBerbuka.

Kesemua anak jati Ipoh yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘TGV’ atau ‘Taman Gunung View’ itu masing-masing mempunyai kepakaran dalam pengurusan acara, seni visual, teknologi maklumat, pemasaran, pengurusan acara dan katering.

Iklan
Iklan

Percubaan pertama mereka menerusi aplikasi MohBerbuka membuahkan hasil apabila telah dimuat turun lebih 1,300 pengguna sejak diperkenalkan pada 1 Ramadan lalu.

Koordinator MohBerbuka, Amar Qhuszaireen Muhd Azahar, 30, berkata, aplikasi itu dikhususkan untuk pengguna di sekitar Ipoh dan hanya menawarkan juadah berbuka yang disediakan pengusaha makanan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di kawasan bandar raya itu.

Iklan

"Oleh kerana ini projek pilot, kita buat keputusan untuk lihat perkembangan pasarannya di Ipoh dahulu meliputi sekali kawasan Chemor dan Lahat.

"Alhamdulillah, sambutan di luar jangkaan sebenarnya, dalam sehari tidak kurang 50 pesanan diterima merangkumi pelbagai jenis juadah berbuka puasa termasuklah goreng-goreng, kuih-muih dan minuman,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Idea

Amar Qhuszaireen berkata, idea untuk membangunkan aplikasi itu timbul selepas kerajaan melarang operasi bazar Ramadan di tempat umum ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berbekalkan kos hampir RM3,000 yang dibiayai sendiri oleh semua yang terlibat, mereka mula menggerakkan usaha mencari pengusaha makanan yang berminat menyertai MohBerbuka.

"Tiga minggu sebelum Ramadan, kami mula lakukan kaji selidik dan mencari pasaran dalam kalangan peniaga makanan.

"Alhamdulillah, kita nampak ada permintaan tinggi dalam kalangan mereka apabila pada hari pertama sahaja aplikasi ini apabila 200 peniaga makanan mendaftar,” katanya.

Katanya, peniaga yang menyertai MohBerbuka tidak dikenakan caj sebaliknya mereka hanya perlu mendaftar dan memberikan menu dijual untuk dimasukkan ke dalam aplikasi.

Nasi ayam penyet antara juadah berbuka yang terdapat dalam aplikasi MohBerbuka.

"Aplikasi ini menggunakan kaedah bayar tunai semasa serahan (COD) melalui penghantar makanan berdaftar dengan caj sama rata sebanyak RM5 bagi semua destinasi.

"Pesanan boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja, namun proses penghantaran bermula pada jam 3 petang. Pesanan dibuat selepas jam 7 pula akan dibawa pada keesokan hari,” katanya.

Sistematik

Amar Qhuszaireen berkata, sistem jual beli menerusi aplikasi lebih sistematik dan praktikal kerana pengguna tidak perlu berurusan secara langsung dengan peniaga.

Katanya, ia lebih mesra pengguna kerana pesanan boleh dibuat dari semasa ke semasa tanpa had.

"Setiap pesanan dibuat direkod melalui sistem, begitu juga dengan lokasi penghantaran.

"Jadi ia lebih memudahkan komunikasi antara pengguna, peniaga dan khidmat penghantaran,” katanya.

Jelasnya, usaha menambah baik perkhidmatan dalam sistem aplikasi itu dilakukan setiap hari bagi memastikan kepuasan pengguna.

"Buat masa ini, tiada lagi aduan diterima dan kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan,” katanya.

Alternatif

Mengulas mengenai persaingan, beliau berkata, aplikasi berkenaan dibangunkan hanyalah untuk memberi alternatif kepada pengguna.

"Pembelian secara dalam talian memang sudah menjadi gaya hidup masyarakat sekarang, lebih-lebih lagi apabila pergerakan terhad akibat pelaksanaan PKP.

"Atas sebab itu, kami cuba mewujudkan aplikasi ini dengan mengetengahkan menu berbuka puasa yang terkenal di Ipoh,” katanya.

Dalam pada itu, Amar Qhuszaireen tidak menolak kemungkinan pasukannya akan melebarkan perkhidmatan aplikasi berkenaan ke daerah lain.

Katanya, mereka mungkin akan menukar nama aplikasi itu daripada MohBerbuka kepada MohMakan dengan memberi fokus kepada sajian tempatan.

"Di Perak ini, setiap daerah mempunyai menu unik yang boleh diangkat sebagai 'signature' bagi memperkenalkan kawasan berkenaan.

"Jadi kita kena ambil peluang ini dan sasarkan kepada pelancong yang mana mereka boleh membuat pesanan juadah tradisi tempatan menerusi aplikasi ini,” katanya.