SHAH ALAM – Umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan sepanjang 10 Malam al-Qadr atau Lailatul Qadr yang ditafsirkan oleh ulama sebagai malam terbaik.
Pendakwah Pencetus Ummah Azman Syah Alias berkata, keistimewaan malam al-Qadr ada dijelaskan dalam surah al-Qadr.
"Malam al-Qadr adalah malam yang diturunkan al-Quran dan ALLAH telah menyebut tiga fungsi al-Quran dalam ayat ini iaitu sebagai petunjuk kepada manusia, keterangan bersifat petunjuk dan juga pembeza kepada hak dan batil.
"Pada malam al-Qadr, akan turun malaikat dan roh. Dalam hal ini ulama berbeza pendapat dan ada yang mengatakan kesemua malaikat termasuk malaikat Jibril, ada yang mengatakan bukan malaikat tetapi makhluk ALLAH yang terdiri daripada tentera ALLAH yang lain tetapi yang pasti malaikat Jibril dan malaikat lain turun sehingga suasana malam menjadi sempit,” katanya.
Menurutnya, tujuan kesemua malaikat turun ke bumi untuk berdoa dan mengharapkan pengampunan daripada umat manusia sehingga menjadikan seseorang yang asalnya tidak mulia menjadi mulia.
Azman Syah berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Khas Ramadan bertajuk 'Kalau Kutahu Itulah Lailatul Qadar' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian iaitu portal, Facebook, YouTube dan Twitter semalam.
Wacana turut menampilkan pelakon dan Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, Ashraf Muslim sebagai panelis dan dikendalikan moderator personaliti televisyen popular, Irma Hasmie.
Azman Syah turut kepercayaan karut mengenai roh nenek moyang pulang untuk meninjau kehidupan anak cucu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebahagian ulama berpendapat, sebarang makhluk jahat seperti jin dan syaitan tidak mempunyai sebarang fungsi dan kekuatan pada malam berkenaan.
"Kerana inilah, umat manusia disarankan merebut peluang 10 malam al-Qadr bermula daripada terbenam matahari sehingga terbit fajar dengan mengerjakan pelbagai amalan.
"Manfaatkanlah ruang yang ALLAH SWT bagi setahun sekali yang menyamai 83 tahun,” katanya.