MTBC kaji semula Kejohanan Terbuka Malaysia

Iklan
Rafiq Ismail antara pemain lelaki dalam skuad boling kebangsaan ketika ini.

KUALA LUMPUR - Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) masih belum memutuskan mengenai penganjuran kejohanan boling Terbuka Malaysia yang dijadualkan semula pada 22 hingga 28 November ini.

Pada awalnya, edisi ke-41 itu dijadualkan pada 26 Mac hingga 4 April di Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya, sebelum ditangguhkan ke November akibat ancaman virus Covid-19.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, MTBC masih tidak begitu optimistik untuk menganjurkan kejohanan berkenaan pada tarikh baharu tersebut.

"Kami belum memutuskan sama ada akan meneruskan Terbuka Malaysia atau membatalkannya. Mungkin pada Julai, kami mungkin mengkaji semula keputusan berdasarkan situasi semasa Covid-19, demi keselamatan semua orang," kata Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok.

Iklan

Boling Dunia pada bulan lepas mengumumkan penjadualan semula semua acara utama dipinda ke tahun 2021 dan 2022, termasuk Piala Dunia Boling AMF, Piala Dunia Boling Para, Kejohanan Belia dan Remaja Dunia.

Keputusan itu menyaksikan Kejohanan Asia di Hong Kong, yang ditangguhkan dari Julai hingga 13 hingga 23 November dan Terbuka Malaysia menjadi satu-satunya kejohanan utama yang tinggal dalam kalendar tahun ini.

Iklan

Sementara itu, Maradona berkata, pemain kebangsaan tidak mempunyai pilihan lain dengan melakukan latihan di rumah sementara menunggu kebenaran daripada kerajaan untuk membolehkan mereka menjalani latihan seperti biasa memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan.

Pasukan kebangsaan yang tidak dapat menyertai pertandingan sejak awal Mac akibat penularan Covid-19 menjalani latihan di rumah sejak penguatkuasaan PKP dua bulan lepas.

Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi lampu hijau untuk beberapa aktiviti sukan luar dan tidak bersentuhan seperti larian, berbasikal dan badminton, bagaimanapun ia tidak melibatkan pemain boling.

Sukan boling dianggap berisiko untuk menyebarkan jangkitan kerana ia dimainkan di pusat boling yang terletak di dalam pusat membeli-belah.

"Kami akan menunggu kebenaran berkenaan, kerana kami tidak mempunyai kejohanan besar untuk mempersiapkan atlet. Kebanyakan kejohanan antarabangsa telah pun dibatalkan atau ditunda hingga ke tahun depan.

"Kebimbangan utama kami adalah para pemain kerana sudah sekian lama mereka tidak berlatih. Kami harus memastikan mereka kembali kepada prestasi terbaik sebaik latihan rasmi dimulakan.

"Sudah pasti kami akan mengenakan prosedur operasi Standard (SOP) yang ketat untuk atlet dan jurulatih. Ini merangkumi penjarakan sosial, membahagikan sesi latihan dan lorong boling untuk mengurangkan risiko,” katanya. - Bernama