Covid-19: KKM kekal guna tiga strategi lakukan saringan

Iklan
Petugas Kementerian Kesihatan melakukan pengambilan sampel semasa menjalankan saringan Covid-19 terhadap peniaga dan pekerja di Pasar Awam Ampangan. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Strategi Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai saringan koronavirus (Covid-19) adalah menggunakan sumber berimpak tinggi, hasil yang tinggi dengan kos berpatutan dan bukannya melakukan saringan ke atas setiap individu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, KKM menyasarkan kepada tiga strategi berbanding melakukan saringan ke atas setiap orang kerana kekerapan untuk menguji tidak dapat diramalkan.

Iklan
Iklan

"Ini adalah strategi kami daripada menguji setiap individu, kami tidak tahu berapa kerap hendak lakukan ujian, walaupun kami berupaya melakukan ujian, kami tidak menjalankan ujian untuk semua orang,” katanya pada sidang media harian KKM di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pekerja asing adalah satu daripada kumpulan sasaran KKM, tetapi hanya yang berada di zon merah yang akan disaring.

Iklan

Beliau berkata, majikan digalak untuk menyaring pekerja mereka terutama warga asing dan menambah tidak perlu untuk jalankan ujian ke atas individu yang berada di zon hijau seperti di Perlis, yang tidak melaporkan kes baharu lebih dua minggu.

"Kami memberikan tumpuan pada mereka yang berada di zon merah terutama pekerja pembinaan kerana sekarang terdapat (jangkitan) antara pekerja pembinaan. Kumpulan lain (tiada) penularan, contohnya, pembantu rumah (yang tinggal bersama kita),” katanya.

Iklan

Dr Noor Hisham berkata, terdapat lapan kumpulan sasaran di bawah senarai KKM iaitu kluster tabligh Masjid Jamek Seri Petaling, sekolah tahfiz, kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pasar yang mempunyai kaitan dengan Pasar Borong Kuala Lumpur, pusat jagaan warga emas, pekerja asing di tapak pembinaan, petugas penjagaan kesihatan dan rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara.

"Sekiranya anda menguji semua orang dan asingkan mereka itu adalah baik... tetapi mereka masih terdedah kepada masyarakat dan virus kalangan komuniti itu. Justeru daripada menguji semua orang, kami fokus kepada kumpulan sasaran kami,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tiga fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menggunakan strategi sama (pendekatan tertumpu) telah berjaya meratakan lengkuk penularan jangkitan Covid-19.

Ditanya sama ada petugas kesihatan barisan hadapan akan diberi cuti ketika hari raya, Dr Noor Hisham berkata, sama ada boleh melepaskan warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) bercuti adalah bergantung kepada keadaan setiap hari.

"Kami akan melihat keadaan semasa, setiap hari kami memantau kes-kes harian dan kami akan melihat perkembangan terkini iaitu kalau setiap hari sekarang kes seharian kekal dua angka," katanya.

Jelasnya, KKM akan menggunakan kaedah penggiliran bagi petugas kesihatan melaksanakan tugas, manakala ada dalam kalangan mereka akan diberikan cuti seperti yang dilaksanakan setiap tahun.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan memantau sama ada kes meningkat atau menurun pada 18 Mei ini, iaitu dalam tempoh 14 hari sejak pelaksanaan PKPB pada 4 Mei lepas. - Bernama