Peniaga kosmetik antara ditahan terlibat dadah, miliki senjata api

Iklan
Hasanuddin (kanan) menunjukkan senapang jenis Cal 22 Long Rifle buatan Czechoslovakia yang dirampas daripada tiga individu termasuk seorang wanita warga Thailand dalam serbuan di sebuah rumah di Tasek Cina Gual Sitok.

KOTA BHARU - Tiga termasuk seorang peniaga kosmetik wanita warga Thailand ditahan di Rantau Panjang semalam kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan memiliki senjata api jenis Cal 22 Long Rifle yang digunakan untuk melindungi diri.

Wanita berusia 30 tahun itu ditahan bersama lelaki berusia 42 tahun yang positif dadah jenis metamphetamine di sebuah rumah di Tasek Cina Gual Sitok pada jam 6.54 pagi.

Iklan
Iklan

Seorang lagi lelaki yang berusia 27 tahun ditahan di sebuah rumah berasingan di Kampung Banggol Merbol Gual Sitok pada jam 7.40 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Pasir Mas.

Iklan

Menurutnya, serbuan pertama menahan pasangan itu di dalam sebuah bilik dan menemui ketulan kristal dadah bersama sebutir peluru di dalam poket seluar jeans yang berada di atas lantai.

Katanya, suspek lelaki kemudian membawa polis ke sebuah rumah miliknya yang masih dalam pembinaan di belakang rumah itu.

Iklan

"Pemeriksaan di dalam rumah kedua tersebut menjumpai empat peket plastik berisi 800 pil kuda, tiga botol dipercayai heroin seberat 15 gram (g) dan sepeket plastik berisi 2.6g syabu keseluruhannya bernilai RM18,390.

"Turut ditemui selaras senapang jenis Cal 22 Long Rifle buatan Czechoslovakia bersama kelopak di dalamnya berisi tujuh butir peluru dan tiga bekas berisi 121 butir peluru termasuk jenis 9MM Luger," katanya.

Beliau berkata, susulan itu satu lagi serbuan dilakukan dan menahan rakan mereka yang berusia 27 tahun bagi membantu siasatan.

Harta sitaan termasuk lima motosikal, dua kenderaan, wang tunai dan barangan kemas keseluruhannya bernilai RM212,206 dirampas daripada tiga individu termasuk seorang peniaga kosmetik wanita warga Thailand.

Menurutnya, semakan rekod kedua-dua suspek lelaki masing-masing mempunyai lima dan empat kesalahan berkaitan dadah.

"Berdasarkan keterangan awal mereka memberitahu pemilikan senjata api tersebut bertujuan untuk melindungi diri kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

"Kesemua mereka ditahan reman seminggu bermula semalam sehingga 19 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971,” katanya.

Hasanuddin berkata, polis juga merampas dan menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Perodua Myvi dan lima motosikal termasuk Yamaha 125ZR serta motosikal dari Thailand.

"Selainnya, RM45,380 wang tunai dan sejumlah barangan kemas dirampas menjadikan keseluruhan sitaan berjumlah RM212,206,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasanuddin berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di Batu Gajah, Tanah Merah pada 6 Mei lalu dan merampas pistol sepucuk pistol jenis Revolver Smith dan Wilson bersama kelopak yang mengandungi enam peluru hidup.

"Satu lagi serbuan dilakukan pada 11 Mei lalu di kawasan semak di Repek, Bachok dan menahan lelaki berusia 41 tahun dalam sebuah khemah selepas menjumpai dadah serta selaras senapang angin bersama 83 guli yang digunakan sebagai peluru.

"Selainnya dua lelaki berusia 26 tahun dan 33 tahun ditahan secara berasingan di Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa pada 12 dan 13 Mei lalu serta menemui dadah jenis pil kuda dan syabu bernilai RM39,405,” katanya.