IPOH - Lapan deretan rumah di Taman Silibin Indah, Silibin di sini berisiko untuk didiami selepas berlakunya gelongsoran tanah akibat hujan lebat semalam.
Kejadian sekitar jam 2 petang itu menyebabkan bahagian belakang dan dapur rumah masing-masing mengalami keretakan dinding dan kerosakan lantai.
Mohammad Rosli Mohammad Ginda, 57, berkata, kesan retak awal sudah dikesan sejak sebulan lalu, namun tidak menyangka runtuhan berlaku dengan begitu teruk.
"Mungkin sebab hujan lebat sejak beberapa hari ini menyebabkan struktur tanah sudah tidak kuat.
"Kejadian semalam pun berlaku tanpa apa-apa tanda, tiada hujan mahupun angin, tiba-tiba sahaja nampak pokok bergerak-gerak, tanah di bahagian dapur merekah dan menggelongsor ke tebing sungai," katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, ia adalah kejadian pertama sejak menduduki taman itu 13 tahun lalu.
"Akibat kejadian ini, saya tak tidur semalaman kerana bimbang keselamatan isteri dan anak-anak.
"Sekarang ini pun isteri saya tak berani nak jejak dapur, takut kalau-kalau runtuhan lebih teruk berlaku," katanya.
Seorang lagi mangsa, S Moses James, 59, berkata, cerucuk besi yang dipasang di bahagian belakang rumahnya patah akibat pergerakan tanah itu.
Kesannya, lantai, dinding dan pintu bahagian belakang rumah runtuh dan tidak selamat untuk digunakan.
"Saya berhabis wang pencen untuk ubah suai rumah, bahagian belakang saya buatkan 'piling' dan penghadang untuk keselamatan kalau-kalau berlaku hakisan tanah.
"Rupa-rupanya kejadian yang saya khuatirkan itu berlaku juga," katanya.
Pesara tentera itu berkata, buat masa ini dia dan keluarga tiada perancangan untuk berpindah, kecuali dengan arahan pihak berkuasa atas faktor keselamatan.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat penilaian cadangan membina gabion untuk mengelak runtuhan sama berlaku pada masa akan datang.
"Pagi tadi saya telah meninjau lebih dekat isu berkenaan dan satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan bersama jabatan dan agensi terlibat.
"Dari pemerhatian didapati, kejadian itu berlaku disebabkan kegagalan cerun, tebing sungai iaitu Sungai Tambun masih kukuh dan tidak berubah walau pun ada sedikit hakisan," katanya.
Dalam masa terdekat ini, beliau berkata, pihaknya akan meminta JKR bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan gerak kerja segera sebagai pelan jangka pendek antaranya menutup kawasan runtuhan dengan kanvas dan kerja-kerja memperelok sungai.
Katanya, Lembaga Air Perak (LAP) akan membuat ujian klorin kerana didapati berlakunya aliran bawah tanah selain Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) membuat laporan teknikal pergerakan tanah.
"Penduduk hanya akan dipindahkan jika keadaan tidak selamat untuk mereka, kita meminta penduduk sentiasa berwaspada akan keadaan di rumah masing-masing dan laporkan segera sekiranya berlaku rekahan aktif," katanya.