Hikmah kena Covid-19, Ashraf lihat indahnya dakwah jemaah tabligh

Iklan
Ashraf Muslim selaku panelis pada Wacana Sinar Khas Ramadan.

SHAH ALAM - Dugaan getir dijangkiti wabak pembunuh koronavirus (Covid-19) yang terpaksa dilalui pelakon dan Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, Ashraf Muslim membawa hikmah apabila beliau berpeluang melihat indahnya ajaran Islam yang diamalkan jemaah tabligh.

Ashraf berkata, beliau bertuah kerana dapat beribadat bersama jemaah tabligh termasuk bulan Ramadan sepanjang ditahan di wad ketika menerima rawatan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Hospital Sungai Buloh yang menempatkan pesakit Covid-19.

Iklan
Iklan

"Saya ditahan di wad 31 PKKN dan majoriti pesakitnya datang dari kluster jemaah tabligh. Jadi wad diimarahkan dengan aktiviti agama dan dakwah. Solat lima waktu dilakukan secara berjemaah sebelum bertahlil.

"Apabila Ramadan kami bertarawih sebanyak 23 rakaat termasuk witir dan sebenarnya perkara inilah yang saya cari selama ini," katanya sebak.

Iklan

Ashraf berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Khas Ramadan bertajuk 'Kalau Kutahu Itulah Lailatul Qadar' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian iaitu portal, Facebook, YouTube dan Twitter semalam.

Wacana itu turut menampilkan pendakwah, Cik Man sebagai panelis dan dikendalikan moderator personaliti televisyen popular, Irma Hasmie.

Iklan

Lebih menyentuh hati, Ashraf, 39, berkata, kadangkala ketika sedang tidur di tengah malam, beliau terjaga apabila mendengar suara jemaah tabligh di hadapan katilnya sedang membaca dan menghafaz al-Quran, sedang berwitir dan ada juga suara menangis teresak-esak.

"Apabila mendengar suasana begitu terlintas di kepala saya kat mana sebenarnya dan kenapa saya diletakkan dalam wad ini.

"Ketika bersama-sama di wad juga, saya dan jemaah tabligh bercerita mengenai kebesaran ALLAH SWT dan kami berkongsi masalah masing-masing. Ia buatkan kita lupa tentang sakit dan jadi lebih dekat dengan ALLAH," katanya.

Menurutnya, selepas dibenarkan keluar dari wad apabila disahkan sembuh dari Covid-19 baru-baru ini, beliau sangat bersyukur kerana bukan sahaja dapat kembali ke pangkuan keluarga tetapi diberikan peluang untuk lebih mendekatkan diri kepada ALLAH.

"Lebih penting juga membuka peluang untuk beliau menyampaikan mesej kepada masyarakat di mengenai bagusnya ajaran Islam yang diamalkan jemaah tabligh yang patut dicontohi semua.

"Pengalaman ini juga membuktikan persepsi masyarakat bahawa wad adalah suatu tempat yang menakutkan adalah tidak benar.

"Bagi saya ada hikmah yang ALLAH nak bagi apabila kita dimasukkan ke wad yang mungkin orang lain tidak dapat merasainya tetapi kita dapat laluinya. Saya rindu dengan amalan (ibadat) bersama jemaah tabligh," katanya.

Ashraf disahkan positif Covid-19 selepas pulang menjalani penggambaran drama berjudul Demi di Inverness, Scotland pada 31 Mac lalu dan menjalani kuarantin selama seminggu.

Beliau kemudian ditahan di wad pada 12 April sebelum disahkan pulih dari wabak itu pada 23 April namun memilih untuk terus menjalani kuarantin di pusat itu sebelum pulang ke pangkuan keluarga minggu lalu.