Kegiatan curi hasil hutan di Hulu Perak dikesan

Iklan
Pegawai Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Perak menemui hasil hutan yang ditukar bentuk dipercayai dilakukan ahli sindiket di Hulu Perak. - Foto Jabatan Perhutanan Perak

IPOH - Jabatan Perhutanan Perak mengesan kegiatan mencuri hasil hutan di kawasan Sumpitan dan Ijok, Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan negeri, Pasukan Seksyen Penguatkuasaan Hutan menemui 23 batang kayu yang ditukar bentuk dengan saiz tertentu ketika rondaan kira-kira jam 5 petang.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan pemerhatian, aktiviti itu mempunyai modus operandi yang hampir sama dengan kes tebangan pokok tanpa kebenaran dan sitaan kayu sedia pelbagai saiz yang dilaporkan sebelum ini di Hutan Simpan Piah, Kuala Kangsar.

"Sindiket ini dipercayai akan memindahkan keluar kayu berkenaan dalam masa terdekat walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa,” katanya.

Iklan

Jabatan itu melalui kenyataan berkata, longgokan kayu ditemui tersebut berukuran 6.4 meter panjang, 8 sentimeter lebar dan 7 sentimeter tinggi ditemui ditutup dengan pelepah daun bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa.

23 batang kayu ditemui di kawasan Sumpitan dan Ijok, Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak semalam ketika anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Perak membuat rondaan. - Foto Jabatan Perhutanan Perak

"Setelah menunggu hampir dua jam di kawasan kejadian, tiada sebarang jentera atau individu yang disyaki ditahan semasa pasukan menjalankan intipan.

Iklan

"Oleh itu, semua kayu tersebut disita dan dibawa ke stor rampasan Hulu Perak untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat jabatan," katanya.

Katanya, satu laporan dibuat di Balai Polis Lenggong berhubung penemuan tersebut dan siasatan dijalankan bagi menangkap suspek yang disyaki terlibat.

"Cubaan mencuri hasil hutan yang lebih kerap ini dipercayai disebabkan sambutan Aidilfitri tidak dalam lagi dan kemelesetan ekonomi semasa tempoh PKPB.

"Kita akan menggerakkan semua anggota penguatkuasa dan kakitangan untuk membendung kegiatan mencuri hasil hutan ini dari terus berlaku.

Jabatan Perhutanan Perak turut memberi peringatan kepada orang awam bahawa pihaknya akan tetap menguatkuasakan Akta Perhutanan Negara 1984 melalui pemantauan dan rondaan yang dibuat walaupun dalam tempoh PKPB.