RM14.48 juta diagihkan kepada asnaf

Iklan
Ahmad Zakiyuddin (dua dari kanan) menerima replika cek bantuan daripada PNB bernilai RM200,000 yang disampaikan Rozali (dua dari kiri).

BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang telah mengagihkan sebanyak RM14.84 juta bantuan kepada golongan asnaf sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, jumlah itu turut melibatkan peruntukan program bantuan Nur Ramadan dan bantuan hari raya tahun ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah penerima bantuan meningkat sekali ganda berbanding tahun lepas berikutan ramai yang terjejas dan hilang punca pendapatan disebabkan pelaksanaan PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu.

"Lebih 20,000 orang menerima bantuan khas yang disediakan Zakat Pulau Pinang dan kebanyakan mereka terkesan disebabkan tidak dapat keluar mencari rezeki disebabkan pelaksanaan PKP sebelum ini.

Iklan

"Bagi membantu mereka yang memerlukan, Zakat Pulau Pinang telah melaksanakan dua fasa bantuan khas Covid-19 sebelum ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat ZPP di Bandar Perda di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi Zakat Pulau Pinang menerima sumbangan RM200,000 daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang disampaikan pengurus cawangannya, Rozali Sapiri.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Amran Hazali.

Mengulas lanjut mengenai bantuan yang disalurkan Zakat Pulau Pinang, Ahmad Zakiyuddin berkata, ia turut melibatkan bantuan kepada guru agama dan tahfiz sebanyak RM652,000, sumbangan kepada masyarakat Rohingya (RM30,000), bantuan kecemasan anak-anak kariah (RM1.1juta) serta menyalurkan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan (RM31,772).

Selain itu, Zakat Pulau Pinang turut memberikan bantuan sara hidup dan bantuan makanan bulanan (RM2.9 juta), bantuan Nur Ramadan (RM2.1juta); bantuan pembersihan nyahkuman di masjid dan surau (RM305,600) serta saguhati hari raya (RM4 juta).

Ditanya sama ada bantuan khas Covid-19 fasa ketiga akan dilaksanakan Zakat Pulau Pinang pada masa akan datang, Ahmad Zakiyuddin berkata, ia bergantung kepada keadaan semasa termasuk mengambil kira keputusan kerajaan sama ada akan meneruskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau tidak.

"Selagi ada rakyat yang terkesan sehinggakan mereka terjatuh dalam golongan asnaf, menjadi tanggungjawab Zakat Pulau Pinang untuk mendampingi mereka," katanya.